ISMA, PERKASA Tiada Tempat Di Sarawak

Miri – SUPP mengecam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PERKASA kerana tindakan menghasut mereka dan kenyataan-kenyataan mereka sempena Krismas.

Setiausaha SUPP, Sebastian Ting berkata bahawa tiada tempat untuk pertubuhan seperti ISMA dan PERKASA di Sarawak.

ISMA baru-baru ini telah menasihati umat Islam Malaysia bahawa mengucapkan selamat hari krismas kepada umat Kristian Malaysia bertentangan dengan Islam.

“Saya sangat terganggu bahawa kumpulan ekstremis tersebut boleh mengeluarkan kenyataan tersebut. Malaysia merupakan sebuah negara yang sederhana dan rakyat Malaysia telah saling hormat menghormati antara satu sama lain selama ini,” kata Ting.

Sejak ISMA dan PERKASA muncul beberapa tahun lalu, Ting mendakwa bahawa tiada kebaikan yang muncul daripada mereka.

“Mereka menyebarkan agenda ekstremis. Daripada menyatukan rakyat Malaysia mereka memecahbelahkan masyarakat. Sikap ini tidak sesuai pada zaman ini dan ianya bukan untuk menyatukan rakyat Malaysia,” tegas Ting.

Beliau percaya bahawa Islam menyebarkankeamanan, kasih sayang, muhibah, dan keharmonian antara satu sama lain.

Ting menambah bahawa SUPP mengamalkan kesederhanaan dan menghormati semua agama kerana semua agama mengajar nilai-nilai murni yang baik seperti menghormati antara satu sama lain.

”Semua agama mengecam tindakan mengugut untuk memusnahkan keamanan dan keharmonian, menggalakkan syak wasangka, atau mewujudkan keresahan di kalangan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata bahawa SUPP turut mengecam tindakan penunjuk perasaan PERKASA yang baru-baru ini mengoyakkan poster ucapan ‘Merry Christmas and Happy New Year’ di hadapan ibu pejabat DAP Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.