Bekas Lagenda Bola Sepak Negara, Dollah Don Meninggal Dunia

Johor Bharu – Bekas legenda bola sepak negara 1940-an, Dollah Don atau nama sebenarnya Abdullah Mohd Don, 91, yang terkenal dengan jolokan Harimau Malaya meninggal dunia di Hospital Pakar Puteri KPJ, semalam akibat sakit tua.

Anak bongsunya, Ali, 55, berkata, Abdullah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 pagi di hospital berkenaan akibat sakit tua dan mula uzur sejak dua tahun lalu.

“Jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, kira-kira 12.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Datuk Onn, Larkin.

Allahyarham meninggalkan lima anak dan 15 cucu manakala isterinya, Zaleha Mohd Yusof meninggal dunia empat tahun lalu.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Suleiman Md Nor menyifatkan Allahyarham ketika zaman kegemilangannya dipuja bukan saja di Tanah Melayu malah pengaruhnya melebar sehingga ke Indonesia dan dikagumi bekas Presiden Republik Indonesia, Soekarno.

Katanya, Allahyarham disifatkan sebagai pemain bijak selain amat mencintai sukan bola sepak sehingga jika dibandingkan kebolehannya setara dengan bintang dunia dari Argentina, Lionel Messi.

“Gelaran Harimau Malaya itu diberikan oleh Soekarno yang kagum melihat aksi arwah menjaringkan hatrik ketika menentang sebuah kelab Indonesia pada 1953.

“Dollah Don juga seorang pelari pantas menyebabkan tidak mudah pemain lawan mengejar dan memintasnya di padang. “Pada zaman ini kalau ada gelaran Hero Malaya, Dollah Don paling layak menerimanya,” kata Suleiman.

Menurut beliau, arwah tidak tinggi tetapi boleh melompat menanduk tajam bola di udara.

“Sebagai penyerang, dia boleh mengambil bola dari mana-mana posisi dan bola seperti melekat di kakinya seperti Messi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian.

Suleiman berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian sahabatnya itu dan berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif mendokumentasikan kisah perjalanan hidup arwah untuk pembangunan bola sepak negara.

“FAM perlu buat kajian kisah kehidupannya sebagai pemain termasuk bagaimana dia menumpukan sepenuh masanya terhadap sukan yang amat dicintainya itu.

“Kehebatannya di atas padang membolehkan dia dipanggil beraksi untuk pasukan bola sepak di China, Singapura dan Indonesia,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.