Bantuan Bekalan Makanan, Ubatan Dan Barangan Keperluan Dihantar Ke Kuala Krai – Mustapa

Kota Bharu – Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bekalan makanan, barangan keperluan dan ubatan telah dapat disalurkan kepada mangsa banjir di 28 lokasi yang terputus hubungan di Kuala Krai.

Bekalan itu dihantar menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan keadaan cuaca baik.

“Alhamdulillah buat pertama kali hari ini cuaca baik membolehkan bantuan dihantar melalui helikopter,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Banggol Ghucil yang menempatkan lebih 2,000 mangsa banjir, di sini hari ini.

Mustapa berkata, pihak berkuasa memberikan keutamaan kepada operasi menyelamatkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan disalurkan kepada mangsa.

Menurut Ahli Parlimen Jeli itu,  banyak perkara baharu yang dipelajari dan boleh diperbaiki dari segi pengurusan penghantaran bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual meninjau keadaan banjir dan mangsa banjir di negeri ini.

Dalam perkembangan yang sama, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata 20 pusat pemindahan di Kuala Krai dibuka sekaligus menempatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia(ATM) yang akan membantu pengurusan di tempat berkenaan termasuk pasukan perubatan tentera.

“Kita akan gerakkan pasukan yang kini berada di Pasir Mas ke Kuala Krai dan akan ada penambahan anggota (perubatan).

“Pasukan ini akan melihat tentang kebersihan kerana selepas berlaku banjir akan adalah penyakit, kita tidak mahu penyakit menular,” katanya kepada pemberita di Kuala Krai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.