A Rahman Hassan, Fadillah Mansor Sah Bergelar Suami Isteri

Kuala Lumpur – Dengan sekali lafaz, penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan sah bergelar suami kepada pelakon Fadillah Mansor, semalam.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan diadakan di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kira-kira jam 9 malam.

Pasangan yang mengenakan persalinan rona kuning itu dinikahkan oleh Imam Masjid Jamek Kampung Baharu, Azizi Ab Hamid.

A Rahman menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin berlian kepada Fadillah, manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Pihak pengantin lelaki turut memberikan lima dulang hantaran berupa beg, kasut, wangian, alat solek dan sepersalinan pakaian. Ia turut dibalas lima dulang hantaran oleh pihak pengantin perempuan iaitu cincin, kasut, wangian dan manisan.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu itu, turut kelihatan beberapa artis yang hadir, antaranya Datuk DJ Dave, Datuk Jalaluddin Hassan, Rohana Jalil, Uji Rashid, Hail Amir, Salwa Abdul Rahman, Den Wahab.

Anak-anak pasangan berkenaan daripada perkahwinan terdahulu turut sama hadir meraikan pernikahan mereka.

Fadillah, yang sering membawakan watak ibu dalam lakonannya sebelum ini bercerai dengan pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London.

Manakala A Rahman pula kematian isteri, Datin Azizah Mohamad pada 26 April tahun lalu akibat penyakit kanser.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.