KSU Ditukar Lepas Dipersalahkan Isu RM1.4 Bilion, Menteri Dakwa Hanya Urusan Biasa

KUALA LUMPUR – Pertukaran Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam adalah dalam bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Malah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, beliau tidak campur tangan dalam pertukaran Mohd Sallehuddin kerana ia di bawah bidang kuasa Tan Sri Dr Ismail Bakar dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, beliau juga belum mendapat notis daripada mana-mana pihak.

“Saya baca melalui Whatsapp group, saya baca begitu sahaja lah dan tidak ada pun penafian rasmi tentang itu.

“Jadi saya anggap itu urusan biasa di pejabat KSN atau di pejabat Ketua Pengarah JPA,” katanya sambil menegaskan tidak mencampuri bidang kuasa yang ada pada KSN atau JPA.

Beliau mengulas laporan portal semalam yang mendakwa Mohd Sallehhuddin ditukarkan susulan isu tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Pertukaran itu didakwa dibuat pada Jumaat lalu, sehari selepas isu tersebut dicetuskan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Susulan daripada pendedahan itu, ada pihak daripada Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Salahuddin disabotaj oleh KSU kementeriannya.

Salahuddin menyifatkan perpindahan Mohd Sallehhuddin adalah pertukaran biasa antara kementerian dan jabatan kerajaan.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang siasatan dalaman dilakukan oleh kementeriannya terhadap Ketua Setiausaha Kementerian itu.

“Tidak ada siasatan dalaman dilakukan. Saya tidak pernah mengarahkan atau pun menerima apa-apa arahan,” ujarnya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!