VIDEO: Rusuhan Kuil Tiada Unsur Perkauman – Ketua Polis Selangor

SUBANG JAYA – Insiden kekecohan dan rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Sebaliknya, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, pergaduhan itu berpunca akibat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

“Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh,” katanya yang dipetik oleh portal BH Online semasa sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan”, katanya.

Dalam kejadian itu, puluhan individu merusuh di kawasan tapak kuil terbabit sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan, malah sebanyak 18 kenderaan dilaporkan turut dibakar.

Mazlan juga memaklumkan, polis sudah menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Hospital Serdang ketika menjalani rawatan akibat kecederaan dialami selepas rusuhan itu.

“Kita juga telah menempatkan sebanyak lebih 700 pegawai dan anggota termasuk dari pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk bersedia di kawasan kuil itu.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita minta semua pihak bertenang dan jangan timbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, bagi kita siasat dulu,” katanya.

Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.