Tiada Tolak Ansur Dengan Pihak Ganggu Keharmonian Negara

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta tidak mengambil tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh ‘membakar’ sentimen perkauman, sekali gus menjejaskan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah mengawal keadaan dan menyiasat kes rusuhan di Kuil Seri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya awal pagi tadi.

“Saya dimaklumkan, polis sudah membuat tangkapan beberapa suspek dan siasatan sedang dijalankan di bawah Kanun Keseksaan.

“Mana-mana suspek yang didapati melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau meminta semua pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk mengawal keadaan dan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak supaya tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluar sebarang kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman dan menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya memandang serius insiden itu dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya. – BERITA HARIAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.