Selangor Beli SPLASH 10 Kali Ganda Dari Nilai Asal Punca Skim Air Percuma Terjejas, Kata Najib

SHAH ALAM – “Amaran saya menjadi realiti,” kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan pengumuman Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa kerajaan negeri itu tidak lagi meneruskan skim air percuma untuk semua sebaliknya hanya memberikannya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sahaja. 

Kata Najib, beliau pernah memberi amaran bahawa langkah kerajaan pusat meminjam dan membenarkan kerajaan Selangor untuk membeli syarikat air swasta SPLASH dengan nilai sepuluh kali ganda lebih tinggi dari harga tawaran asal akan menjejaskan pemberian air percuma di Selangor.

Ujarnya, kerajaan negeri ‘berdegil’ untuk membeli SPLASH adalah kerana mempunyai sebab tertentu.

“Antara pemegang saham terbesar di dalam SPLASH ialah ahli korporat yang rapat dengan Pakatan Harapan (PH).

“SPLASH kini telah dibeli dengan harga RM2.55 bilion berbanding harga RM250 juta yang ditawarkan oleh bekas MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Amaran saya menjadi realiti selepas MB Selangor yang baru mengumumkan pemansuhan air percuma untuk semua bermula tahun depan di DUN Selangor minggu lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kerajaan Selangor pada 3 Ogos lalu selesai mengambilalih SPLASH dengan nilai RM2.55 bilion selepas hampir setahun proses rundingan berjalan. 

SPLASH merupakan syarikat terakhir yang berjaya diambilalih oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor). 

Dengan pengambilalihan itu, isu penstrukturan air Sela­ngor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu akhirnya ternoktah dan ini sekaligus menjadikan Air Selangor sebagai syarikat tunggal yang menjalankan proses merawat dan mengagih air terawat kepada pengguna Sela­ngor, Lembah Klang dan Putrajaya menjelang tahun depan.

Dalam pada itu tambah Najib, tarif air baru untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga akan diumumkan tidak lama lagi dan tidak mustahil jika ada kenaikan.

“Kerajaan BN dahulu tidak meluluskan pembelian SPLASH dengan harga tinggi ini tetapi selepas PH menang kerajaan pusat, mereka luluskannya dengan serta-merta,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Sementara itu, Amirudin awal hari ini berkata, skim air percuma terpaksa dihadkan kepada golongan B40  berikutan peningkatan jumlah penduduk di negeri ini.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri menanggung kos yang tinggi selepas memutuskan untuk memberi air percuma kepada seluruh penduduk di Selangor sebelum ini.

Untuk rekod, Selangor memperkenalkan skim pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan kepada semua warganya sejak 2008. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.