Polis Tahan Tujuh Lelaki Berkaitan Rusuhan Di Kuil USJ 25

SUBANG JAYA – Tujuh lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, dua individu ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor akibat tercedera dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi tadi.

Menurut beliau, lima lelaki lain turut ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi membantu siasatan rusuhan tersebut.

“Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua motosikal turut dibakar dalam kejadian berkenaan. Sebuah kereta peronda polis turut rosak akibat dibaling batu oleh perusuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.

“Namun, kita akan siasat dahulu. Jangan mengambil tindakan undang-undang, serahkan perkara ini kepada pihak polis, jangan ambil tindakan sendiri melampaui lunas undang-undang,” katanya.

Beliau turut berkata, lebih kurang 700 anggota termasuk dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah digerakkan untuk mengawal keadaan.

“Kita mendapat maklumat ada beberapa orang lelaki bangsa Melayu tercedera, namun maklumat lain kita belum terima.

Beliau turut menegaskan insiden berikut tidak berbaur isu perkauman.

“Ini satu insiden terpencil yang kita katakan bahawa berlaku caci-mencaci sesama sendiri. Kita tidak mahu dicop sebagai satu insiden yang melibatkan perkauman. Biar kami siasat dahulu, pihak polis mahu melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan orang ramai di sekitar kawasan tersebut,” tambahnya.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil, yang berusia lebih 100 tahun.

Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.