Nasib Baik Saya Belum Didakwa Kes Liwat, Kata Najib

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pendedahan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad semalam merupakan satu lagi bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan kuasa vetonya untuk terus mempengaruhi pemikiran rakyat demi memburukkan namanya. 

Najib merujuk kepada kenyataan Madinah yang mengesahkan bahawa beliau pada 22 Nov 2016 mengarahkan Tan Sri Ambrin Buang, yang merupakan ketua audit negara ketika itu, meminda laporan audit 1MDB.

Madinah turut mendedahkan setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh turut mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho dalam laporan itu, dikeluarkan.

“Terbaru ialah dakwaan melalui kenyataaan media Jabatan Audit Negara pada pagi Ahad bahawa bekas pegawai saya pada awal tahun 2016 pernah cuba untuk menyembunyikan fakta bahawa Jho Low pernah menghadiri satu mesyuarat di 1MDB.

“Jika kita lihat secara teliti dan matang, Kementerian Kewangan di bawah saya telah menjawab melalui jawapan bertulis di Parlimen pada 21 Disember 2015 untuk mengesahkan bahawa Jho Low pernah menghadiri satu mesyuarat 1MDB tetapi hadir dalam kapasiti mewakili syarikat PetroSaudi dan bagi pihak Putera Turki,”katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Najib turut memuat naik petikan laporan portal Malaysiakini yang melaporkan mengenai perkara itu.

Tambah beliau lagi, selain jawapan bertulis kerajaan (pada ketika itu) di Parlimen, penglibatan Jho Low juga pernah dibincangkan di prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 25 November 2015, iaitu sebelum daripada tarikh yang didakwa ia diarahkan untuk dipinda (November 2016).

“Sebelum itu juga, fakta ini juga telah disahkan, dijelaskan dan dibincangkan di prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 25 November 2015.

“Kedua-dua pendedahan ini sudah berlaku sebelum tarikh yang didakwa oleh kenyataan media Jabatan Audit Negara bahawa berlakunya cubaan untuk menyembunyikan nama Jho Low di dalam laporan Audit Negara,” jelas beliau.

Justeru katanya dengan kedua-dua fakta tersebut, jelas sekali tiada sebarang cubaan oleh kerajaan terdahulu untuk menyembunyikan dari ahli PAC ataupun dari rakyat tentang kehadiran Jho Low dalam salah satu mesyuarat 1MDB.

“Saya bernasib baik bahawa ISA telah dimansuhkan dan saya masih belum didakwa terlibat dalam kes liwat,” ujarnya sinis. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.