Menteri Amanah Diibaratkan Ada Tidak Menguntungkan, Tiada Tidak Merugikan

KUALA LUMPUR – Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff menyifatkan barisan Menteri daripada parti Amanah seperti ‘ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan.

Ini kerana, sejak enam bulan mentadbir kerajaan di Putrajaya, pemimpin daripada Amanah tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan dan berada di paras gred purata.

Kata Agus, gred itu hanyalah 40 peratus sahaja.

“Menteri Amanah lima orang. Saya beri purata prestasi mereka 40 peratus, dengan Datuk Seri Dr Dzulkifley terbaik antara lima.

“Terbaik kerana beliau menjawab di Parlimen dengan baik dan substantif. yang lain-lain seadanya sahaja. Ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Agus berkata lagi, gejala sindrom penafian yang dahulunya diamalkan sesetengah menteri UMNO sudah berjangkit kepada menteri dalam kerajaan sekarang.

“Saya fikir dahulunya menteri Umno sahaja yang terperangkap dengan gejala sindrom penafian, tetapi gejala ‘syok sendiri’ ini berjangkit juga kepada pemimpin Amanah,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa orang menteri, Agus berkata, setiap menteri dalam kerajaan mempunyai perangai yang tersendiri yang boleh disifatkan sebagai tidak cekap begitu juga penasihat yang dilantik oleh menteri terbabit.

Ada juga menteri yang menjawab soalan dari pembangkang secara berbelit-belit sehingga sukar difahami maksud dan makna yang ingin disampaikan.

“…seorang menteri Amanah, semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, suka mengulang perkataan “saya sekarang menteri. Tak cukup peruntukan, saya akan bincang dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng).” Program kementerian banyak yang dirancang, tetapi tiada yang luar biasa. Berterusan retorik.

“Seorang menteri lagi, suka bercakap. Semua hal hendak dijawabnya, pantang wartawan tanya.  Sebab itulah jawapan selalu tersasul sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Polisi baharu tidak ada. Klise sahaja. Sebab terjadi begini kerana menteri tidak cekap dan pegawai serta penasihatnya pun sama. Maka, beginilah jadinya,” tambahnya.

Agus menambah, prestasi Amanah di dua negeri Pantai Timur juga hanya mahu terus dengan sikap ‘survive’ atau bertahan dan jika keadaan berterusan, dikhuatiri Amanah akan hilang fungsi selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Malangnya, saya perhatikan  Amanah di dua negeri ini seperti hidup segan mati tak mahu. Jika begini senarionya, selepas PRU15 nanti, semakin hilanglah Amanah dari radar peta politik negara,” katanya.

Amanah membariskan sembilan pimpinan tertinggi untuk menjawat jawatan  menteri dan timbalan menteri dibawah barisan kabinet PH yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada PRU14 lalu, Amanah telah bertanding 22 kerusi Parlimen yang mana 11 kerusi Parlimen berjaya dimenangi parti itu setelah dua tahun ditubuhkan dan menyertai gabungan dalam Pakatan Harapan untuk berhadapan dengan BN dan Pas. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.