Armada PPBM Gesa Pecat Exco Kerajaan Negeri Cuba Jatuhkan MB Perak

IPOH — Armada Bersatu (PPBM) Perak mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak menyiasat dakwaan bahawa terdapat exco kerajaan negeri berkomplot dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan jika benar tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak terbabit dengan memecat atau menggugurkannya dari exco kerajaan negeri selain tindakan disiplin diambil oleh kepimpinan parti.

Katanya, tindakan mempermainkan rakan-rakan PH dengan berkomplot bersama Adun pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

“Rakyat telah memberi mandat serta kepercayaan kepada Pakatan Harapan dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah juga telah perkenan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mentadbir kerajaan negeri Perak.

“Semua pihak patut berhenti daripada menimbulkan perkara yang tidak berfaedah pada rakyat dengan menghidangkan perbalahan, perpecahan dan adu domba tidak kira daripada parti politik mana sekalipun jika kita benar-benar bertanggungjawab untuk memulihkan dan membina semula negeri Perak yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Umno Perak mendakwa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa orang exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad dan mendakwa rancangan itu hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima Adun Barisan Nasional supaya menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibuat di DUN. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.