PM Lepaskan 2,000 Peserta Kayuhan Santai

MELAKA – Cuti hujung minggu kali ini lebih bermakna buat peserta Gen-Y Resilient Melaka Fun Ride apabila majlis pelepasan program itu dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Banda Hilir, di sini, pagi ini.

Hujan renyai kira-kira 10 minit pada jam jam 9 pagi tidak menghalang Najib meraikan kira-kira 2,000 peserta yang terdiri dalam kalangan generasi-Y, seterusnya melepaskan peserta kayuhan santai pada jam 9.10 pagi.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Program kayuhan santai sejauh kira-kira lima kilometer itu diadakan bersempena sambutan ‘Gen-Y Green The City Melaka 2017’ dan dijadualkan berakhir di Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian dijadualkan meraikan kumpulan besar peserta di lokasi akhir kayuhan santai itu di Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini, bagi meneruskan program Gen Y bersempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) 2017. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.