Gunung Agung Di Bali Meletus, Penerbangan Dibatalkan, Beribu Penumpang Terkandas

Beribu-ribu penumpang telah terkandas selepas pesawat  dari Australia iaitu Jetstar, Virgin dan Qantas mengumumkan pembatalan penerbangan keluar dan masuk ke Bali susulan letusan kedua gunung berapi Agung hingga mengeluarkan kepulan asap pada ketinggian 3,000 meter.

Namun pembatalan penerbangan itu menyebabkan pelanggan terpaksa tidur di lapangan terbang dan berdepan dengan keadaan di mana mereka tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai pesawat yang mereka tempah.

Kebanyakannya meluahkan menerusi Facebook. Ada penumpang yang meluahkan pujian selepas mereka ditempatkan ke tempat tinggal sementara dan ada pula yang meluahkan kekesalan kerana terpaksa tidur di lapangan terbang.

Semalam, Jetstar telah mengalihkan tiga penerbangan ke Bali dan membatalkan enam pesawat yang bersiap sedia untuk meninggalkan pulau Bali.

“Berikutan letupan Gunung Agung di Bali, Indonesia, adalah tidak selamat untuk mengendalikan pesawat sekitar lapangan terbang Denpasar. Susulan itu kami telah membatalkan penerbangan pergi dan keluar Bali petang ini. Tiga pesawat yang dalam perjalanan ke Bali telah kembali semula ke Australia,” demikian kenyataan yang dikeluarkan Jetstar.

Pada masa sama, kerajaan Australia telah menasihatkan penduduknya yang ingin ke Bali supaya memantau perkembangan gunung itu dengan media tempatan, mengikut arahan daripada pihak berkuasa serta memastikan mereka mempunyai insurans perjalanan.

Sementara itu, kira-kira 29,000 penduduk telah dipindah ke tempat selamat. Jumlah itu berkurang daripada 150,000 orang yang dipindahkan pada bulan lepas selepas kebimbangan gunung berapi itu akan meletus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.