Bekas Menteri Cedera Di Kepala Ketika Kejar Penceroboh

PENAMPANG – Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah, Datuk Conrad Mojuntin cedera akibat dibaling batu oleh suspek warga Indonesia yang menceroboh rumahnya di Kampung Dohunsug, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.40 pagi itu, Conrad, 70, cedera di bahagian belakang kepala, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Difahamkan, ketika kejadian Conrad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog menyedari suspek yang tidak berbaju menceroboh halaman rumahnya, dipercayai bertujuan memecah masuk kediaman mangsa.

Berikutan itu, mangsa memaklumkan mengenai perkara itu kepada anaknya sebelum mereka mengejar suspek.

Bagaimanapun, suspek yang dapat melarikan diri sempat membaling batu yang terkena belakang kepala mangsa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, susulan laporan mangsa, polis menjalankan rondaan di sekitar lokasi kejadian sebelum berjaya mengesan suspek di Jalan Pintas, di sini.

“Suspek warga Indonesia berusia 32 tahun tanpa sebarang dokumen itu ditahan oleh anggota kereta peronda polis (MPV) kira-kira jam 6.30 pagi,” katanya.

Conrad menjadi menteri ketika era pemerintahan Parti Berjaya dari tahun 1982 hingga 1985. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.