AJK PAS Pusat Dedahkan PH Pujuk PAS Kedah Untuk Wujudkan Situasi Satu Lawan Satu

PAS dan Pakatan Harapan (PH) sudah berpatah arang namun usaha memujuk PAS untuk mewujudkan situasi satu lawan satu di Kedah masih dilakukan oleh parti-parti dalam PH.

Meskipun tidak mendedahkan pihak yang cuba memujuk Pesuruhjaya PAS negeri agar bersetuju dengan situasi berkenaan, namun Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS pusat, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan pihak tersebut telah berjumpa dengan Pesuruhjaya PAS Kedah bagi tujuan itu.

“Depa mai jumpa Pesuruhjaya PAS Kedah, supaya PAS Kedah bersetuju di Kedah satu lawan satu.

“Walhal semua maklum, baik PAS Kedah, PAS Perlis, PAS Perak, semua ni ada satu keputusan mana-mana pendirian yang dibuat oleh PAS Pusat, negeri akan patuh,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kompleks Pendidikan MADI, Arau sempena program Himpunan Anak Muda Istiqamah Perlis (HAMAS 4.0) baru-baru ini.

Usaha memujuk ini, kata Muhammad Sanusi telah membuktikan betapa PH kini semakin terdesak untuk menang pilihan raya umum (PRU14), apatah lagi tanpa kehadiran PAS dalam pakatan mereka.

“Tak boleh, dia nampak dia tak boleh pi dah, bila PAS tidak bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, mereka hilang jentera,” ujarnya seperti yang dipetik dari portal Harakah Daily.

PAS sebelum ini telah menegaskan ia tidak akan menyertai PH selagi ada DAP dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada kaitan dengan DAP.

Tindakan itu diambil oleh PAS selepas DAP mengkhianati parti berkenaan. Malahan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi amanatnya menyatakan PAS tetap dengan pendiriannya untuk memastikan DAP dan sekutunya tidak mendominasi kuasa pentadbiran negara selepas PRU-14

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.