Daerah Di Indonesia Haramkan Penjualan Kondom

BELOPA – Sebuah daerah di Indonesia bakal mengharamkan penjualan kondom di kedai serbaneka bagi menghentikan perlakuan seks sebelum berkahwin.

 

Pejabat pentadbiran di Luwu, dekat pusat bandar Pulau Sulawesi memberikan tempoh seminggu untuk pengusaha kedai serbaneka di daerah berkenaan untuk membuang kondom dari rak-rak mereka.

 

Ketua Daerah Luwu Andi Mudzakkar berkata, pihaknya bimbang seks sebelum kahwin meningkat dalam kalangan remaja.

 

Katanya, keputusan itu diambil selepas mendapati kondom mudah didapati malah dijual secara terbuka di kedai-kedai yang memudahkan anak muda membelinya.

 

Tambahnya lagi, penjualan kondom masih dibenarkan di kawasan terbabit tetapi terhad kepada pelanggan berusia 17 tahun ke atas.

 

Seorang aktivis Red Institute Yaakub Gunawan, menyifatkan tindakan itu tidak akan menyelesaikan tingkah laku seksual berisiko.

 

“Kerajaan Luwu harus memberikan pendidikan seks awal agar remaja tahu melindungi diri (daripada risiko HIV) dan bertanggungjawab dengan tindakan mereka,” katanya yang menggerakkan NGO yang memberi tumpuan kepada kesedaran HIV, lapor AFP.

 

Setakat ini beberapa kawasan di Indonesia seperti Surabaya dan Bengkulu telah mengehadkan penjualan kondom dalam mengekang seks luar nikah dalam kalangan remaja.

 

Bagi ulama di Indonesia, mereka telah lama mengecam kempen rasmi menggalakkan penggunaan kondom atas alasan ia menggalakkan hubungan seks sebelum perkahwinan.

 

Awal tahun lalu, Bahagian Badan Pengkeranian Islam Indonesia dengan lantang menentang penjualan kondom berikutan laporan bahawa kondom turut dijual bersama coklat ketika sambutan Hari Valentine.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.