Ucapan Penuh: Khairy Jamaluddin – Melayu

UCAPAN DASAR

KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2014
26 NOVEMBER 2014, 8.30 PAGI, DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC

 

“MELAYU”

 

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

 

Perahu dikatup dengan daun
Penuh sarat berisi lokan
Kalau hidup seratus tahun
Sepanjang hayat Pemuda berkorban

 

Sampan kotak mengapa dikayuh
Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkat paruh
Pantang menyerah di tengah gelanggang

 

1)            Berdiri saya di hadapan anda pagi ini – menyirat semula nirmala perjuangan parti, menginsafi amanah yang diberi, mensyukuri rentetan pengorbanan tokoh-tokoh UMNO sebelum ini.

2)            Alhamdullilah, mari kita zahirkan rasa syukur ke hadrat Tuhan Rabbul Izzati,  yang maha pengampun lagi maha mengasihani. Kerana dengan zat limpah kurnia yang diberi, seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, dapat kita berkumpul semula dalam dewan yang gemilang ini. Juga selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.

 

3)            Sebagai sebuah organisasi, kita berhimpun bukan sekadar memenuhi keperluan perlembagaan tetapi lebih daripada itu – bagi menyusun strategi dan agenda jemaah,  mengangkat martabat bangsa dan pertiwi.  Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

 

 

Yang bermaksud: “… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Sidang perwakilan sekalian,

 

4)            Jika diperhalusi, kebelakangan ini banyak perkara telah terjadi, yang telah mendorong kita untuk mendalami dan menyoal semula identiti kita. Lalu identiti Melayu yang bagaimana harus kita bawa untuk menongkah arus, melawan gelombang serba tak tentu haluan ini?

 

5)            Saya teringat pesan para cendekiawan: jangan malu jadi orang berbangsa. Dalam konteks kita pagi ini, jangan malu jadi Melayu. Tak perlu rasa segan bila bercakap tentang halatuju dan masa depan bangsa sendiri. Dan yang paling penting, tak perlu minta maaf dengan orang lain kerana ini tentang kita, kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa lagi?

 

6)            Tapi jadi orang berbangsa besar tanggungjawabnya.  Bukan setakat mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata. Orang berbangsa yang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing.

 

7)            Kita sebagai orang muda dalam parti wajib menunjukkan kepada setiap yang meragui, bahawa kita memilih harapan bukan kemusnahan. Kita mahu menyangkal dengan adat, berdebat dengan ilmu, menyanggah dengan adil. Jika itu langgam kita, insyaAllah, Pemuda UMNO akan mendokong etos bangsa Melayu yang benar-benar merdeka!

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

8)            Sudah lama kita sepakat perlu meremajakan semula UMNO ini. Atas kesinambungan yang sama, bila bercakap soal meremajakan, soal menarik minat orang muda, kita tahu Pemuda lah benteng paling hadapan parti. Merujuk kepada kata-kata keramat Presiden Parti semasa Konvensyen UMNO di Johor: berilah ruang dan peluang untuk orang muda. Dan seperti yang saya kata di Town Hall Pemuda baru-baru ini, orang muda tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman malah sebagai harapan.

 

(in playful, cynical tone).

 

9)            Namun sejarah dan tradisi tak pernah menipu, sejak dari awal penubuhan sayap Pemuda UMNO hingga ke hari ini, kita kekal menjadi pemangkin utama dalam menarik minat orang muda untuk menyertai parti kita. Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, tahun berganti dekad… Pemuda UMNO terus mara jadi obor menyuluh jalan denai perubahan untuk generasi muda. Cuma gaya mungkin berbeza, bergantung dengan keadaan dan trend semasa.

 

10)         Lewat ini, Pemuda UMNO banyak memberi fokus dengan membawa perubahan hakiki kepada orang muda melalui politik khidmat bakti. Kita juga menitikberatkan perihal isu yang benar-benar relevan dalam kehidupan mereka, agar perjuangan lebih bersasar, khidmat bakti boleh diperbesar.

 

11)         Cuma kadang-kadang yang tak sedapnya, keikhlasan kita diragu, dicela, dicatu. Bukan dari orang luar, tapi dari parti kita sendiri. Namun begitu, Pemuda UMNO ini bak kata orang putih, an easy punching bag. Kalau ada apa-apa yang tak kena dalam parti, ada yang tersalah, terkhilaf bila buat kerja, mesti kita kena dulu. Bila tak dipilih jadi calon pilihan raya, kita dituduh akan sabotaj parti. Padahal kita ini juga yang bersengkang mata, bergaul bahaya berdepan dengan lawan di malam buta. Ini bukan cerita lama, ini cerita selalu dan baru!

 

12)         Di Pengkalan Kubor, kita dituduh akan mensabotaj kempen bila calon terpilih bukan dari kalangan Pemuda. Laporan diberi konon Pemuda sengaja tak gerak jentera. Pemuda boikot. Pemuda protes. Laporan yang kononnya sahih. Tapi keputusan undi terbukti sebaliknya. Demi rasa cinta tanpa sempadan terhadap parti, Pemuda kekal komited melakar semangat perjuangan yang sebenar. Pendek kata, kita berkerja setulus rasa, kita buktikan pada semua! Pemuda Tumpat dan Kelantan benar-benar membuktikan kita tak pernah tersasar dalam memberi apa yang terbaik untuk parti. Walau apa pun tohmahan, Pemuda melaksanakan tugas sebab bagi kita bukan kepentingan peribadi yang penting tetapi perjuangan. Berbaloi penat lelah mereka bila undi orang muda meningkat naik. Dan begitu juga saya ucapkan tahniah kepada Pemuda Teluk Intan sebab berjaya membantu BN menawan semula kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini.

 

13)         Ada yang kata Pemuda sekarang memang berbakti kepada orang muda, banyak idea, tetapi tidak lagi bertaring seperti dahulu. Tak menjadi kumpulan pendesak, tak gah membenteng parti, tak lantang dalam berjuang. Saya nak bagi tahu, Pemuda tidak lupa asal usul. Bila tiba masa untuk lawan kita lawan! Berani kata begitu pada Pemuda Wilayah, pada Pemuda Pulau Pinang? Bila maruah UMNO dicabar, bila DAP panggil parti kita celaka, mereka inilah yang di depan sekali mengambil risiko ditangkap polis, didakwa di mahkamah – atas nama mempertahankan martabat parti.

 

14)         Saya tak pernah ragu walau sekelumit bahawa jiwa Pemuda kental, semangat kita menyala-nyala tak kira masa, kudrat kita melangit demi parti tercinta – sayang bila tiba masa, kita tercorot di belakang tak diberi perhatian. Ralat sungguh rasa di hati.

 

15)         Walaupun ralat, Pemuda tak pernah membenarkan ia melarat jadi dendam dan amarah yang boleh memusnahkan parti. Kita pegang pesanan Saidina Ali Abu Talib: sifat pemarah itu musuh utama akal. Tapi ingatlah kawan, proses peremajaan parti tak boleh disudutkan dari aspek retorik semata – itu sebenarnya pantang perjuangan. Peremajaan semula parti harus ditonggak setinggi mungkin di pentas realiti. Agar semua boleh lihat, agar semua faham kita benar-benar mahu meremajakan semula UMNO.

 

16)         Anak muda tidak melihat kepada Pemuda semata, mereka meneliti parti secara keseluruhan. Jika mereka punyai persepsi UMNO ini tidak membuka ruang untuk orang muda, mana mungkin orang muda nak masuk parti kita? Seterusnya, identitiparti kita ini macam mana? Mudakah layaknya di mata orang ramai? Adakah kita ini rasa parti kita muda dan kontemporari di mata mereka? Anda dan saya tahu jawapannya.

 

17)         Walaupun kita tak kurang sokongan orang muda, kenapa masih ada anak muda yang sokong parti lawan – lebih membimbangkan ada pula yang masuk parti cauvinis itu? Jawapannya mudah, sebab parti lawan dilihat beri peluang pada orang muda. Setahun jagung, dah boleh jadi calon. Kalau kita tengok di Dewan Rakyat muka-muka muda lebih ramai di belah sana berbanding dengan kita. Keadaan ini membentuk persepsi bahawa parti lawan lebih terbuka untuk angkat orang muda.

 

18)         Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana wow factor kita? Tak cukupkah cerdik pandai, orator hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam UMNO untuk diangkat? Atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi dengan motor setiap kali pilihan raya? 50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan ‘diubah’ dengan kuasa peti undi orang muda.

 

19)         Jika kita lalui semula jalan kenangan, UMNO sebenarnya parti orang muda. Suatu ketika dulu barisan pimpinan kita sarat dengan tenaga muda di peringkat tertinggi.

·         Tan Sri Rais Yatim jadi Menteri Besar Negeri Sembilan di usia 36 tahun;

·         Tan Sri Shahrir Samad jadi Timbalan Menteri Kabinet di usia 31 tahun, jadi Menteri Wilayah Persekutuan pada umur 34 tahun;

·         Tan Sri Isa Samad jadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun;

·         Tan Sri Rahim Tamby Chik pun sama, jadi Ketua Menteri Melaka di usia 32 tahun juga.

·Tun Musa Hitam jadi pemangku Setiausaha Agung UMNO di umur 32 tahun, jadi menteri kabinet bila masuk 40;

·Tan Sri Annuar Musa, di usia 34 tahun, sudah jadi menteri kabinet;

·Tengku Razaleigh Hamzah Pengerusi Petronas umur 35 tahun, menteri kewangan 39 tahun .

 

·Begitu juga dengan bapa kepada Presiden kita, Allahyarham Tun Razak yang diangkat jadi Menteri Besar Pahang pada umur 33 tahun, jadi Timbalan Perdana Menteri usia 35 tahun;

 

Sayang sekarang kita membelakangi masa. Hanya saya seorang – Ketua Pemuda UMNO Malaysia sahaja – satu-satunya menteri kabinet di bawah usia 40 tahun. Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang lepas – itupun baru lepas –  saya mahu saudara-saudara dan ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya! Barulah ada transformasi.

 

 

Bukan kita tamak mengejar pangkat dan kedudukan, namun kita tidak boleh menafikan peralihan generasi dan anjakan demografi yang sedang berlaku di hadapan mata kita.

 

20)       Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan kami orang muda. Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa. Kami mahu suara orang muda di segenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC, Pemuda jadi Timbalan Menteri dan lebih ramai Pemuda jadi Menteri!

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

21)         Menyisir waktu, hakikat tak tersangkal kita ini pelbagai. Malaysia identitinya majmuk; agama, budayadan cara hidup kita berbeza. Lantaran bukan senang untuk sampai ke titik ini, maha berliku jalan perpaduan yang dirintis, dibaja, ditara sejak pra kemerdekaan hinggalah sekarang.

 

22)         Keamanan kita hari ini sebenarnya ditopang kemampuan dalam mengimbangi masyarakat berbilang kaum. Pancang kemampuan itu pula bermula dengan Kontrak Sosial yang membentuk negara 57 tahun lampau.

 

23)         Tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua kaum, melalui kontrak sosial. Getir lagi payah untuk mereka mencari jalan tengah yang adil tanpa melukakan hati, tanpa menjarah hak sesiapa.

 

24)         Teras Kontrak Sosial ialah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas “Jus Soli” namun ianya perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.

 

25)         Sekaligus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Maha besar pengorbanan orang Melayu, apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas.

 

26)         Dalam semangat Kontrak Sosial ini, terdapat peningkatan signifikan dalam kuasa politik bukan Melayu. Dari 1.28 juta pengundi berdaftar pada tahun 1955, terdapat 84% pengundi Melayu, 11% Cina dan 4% India. Dan bayangkan saudara, hanya empat tahun selepas itu, semasa pilihan raya 1959, pengundi Cina dan India masing-masing meningkat di paras 36% dan 7%. Ini adalah antara perubahan demografi paling besar dalam sejarah negara-negara moden.

 

27)         Begitu rencam kita menakhoda negara, kita timbang-tara hak dan kepelbagaian atas dacing saksama. Tidak lagi wujud suara dari kaum Melayu yang mempersoal hak kerakyatan orang bukan Melayu, pimpinan UMNO dan kerajaan sudah lama menerima dan mengangkat Kontrak Sosial. Kita tak pernah mengungkit soal kerakyatan yang diberi, kita terima lontaran hakikat bahawa saudara bukan-bumiputera tetap warganegara, tetap rakyat negara kita. Negara saya, negara anda, negara kita semua!

 

28)         Dan walaupun mungkin ada bunyi sedikit suara yang mempersoal kewujudan sekolah vernakular, kepimpinan UMNO sudah lama menerimaaliran ini. Sudah terpateri dalam undang-undang negara, tiada seorang Menteri Pendidikan pun boleh mengubah status sekolah vernakular. Malah bila tiba pembentangan belanjawan tahunan, YAB Perdana Menteri, iaitu Presiden UMNO, tegar memberi peruntukan khas untuk sekolah-sekolah vernakular.

 

29)         Dalam premis ini, kita bersetuju memberi hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dan mengekalkan bahasa ibunda mereka; sementara itu orang bukan Melayu pula mengakui kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Orang Melayu terima, dan orang Melayu tak pernah pertikaikan persetujuan yang telah kita beri.

 

30)         Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak menghormati perjanjian yang sama. Kalau orang Melayu boleh terima, tak ungkit kerakyatan dan mengiktiraf bahawa kita tak boleh tutup sekolah vernakular, kenapa ada pula yang sekarang ini tidak pegang janji asal mereka. Kenapa ada yang minta dihapus kedudukan istimewa orang Melayu, ada yang mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ada yang tak faham Bahasa Kebangsaan. Kalau orang Melayu tegas dengan prinsip kita mempertahankan perjanjian asal, kita tuntut yang lain juga pegang pada janji asal mereka. Tak perlu lagi pertikaikan hak kami. Kita tak minta mereka menggadai apa yang ada, kita cuma minta jaga apa yang telah dipersetujui bersama.

 

31)         Adat bila berjanji wajib dikota, saudara. Kalau tak mahu kita mengungkit apa yang diberi, janganlah disoal hak dan keistimewaan peribumi. Atas janji inilah kita mengasas, membentuk Malaysia yang harmoni. Ini cara kita, yang terbaik untuk semua.

 

32)         Bersama obor perpaduan yang menyala-nyala ini, Pemuda percaya perlu ada batas dalam setiap nas kebebasan. Apa yang sensitif, apa yang boleh merosakkan pembuluh perpaduan, jangan disentuh sama sekali. Samaada Akta Hasutan dikekal atau ditambahbaik, ini semua lompong makna kalau kita tak faham semangat dan halutuju kita orang berbilang bangsa. Tak kira apa akta, apa bylaws, apa kekangan,  perkara-perkara yang sensitif dicanang jangan. Buat apa meniup api dalam sekam semata membangkit kemarahan?

 

33)         Apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai tempat berlindung – bukan hanya untuk orang Melayu – tapi untuk semua rakyat Malaysia. Justeru itu, sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah baik, yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelaku menghasut. Terma-terma ini kelak bakal jadi pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk semua kaum lain. Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa. Sementelah itu, jika ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama yang mengasak agar mereka itu dikenakan tindakan! Kepada pucuk pimpinan kerajaan, Pemuda berpesan, walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita pasti hancur.

 

34)         Mengatur hidup dalam arus moden, tak cukup sekadar bergantung dengan Akta Hasutan itu semata. Tak cukup juga setakat kita menahan diri dari menyoal hak masing-masing. Kita mesti mantap pendirian, jadi tiang seri Malaysia yang bersatu. Kita mesti komited dalam mencorak fabrik perpaduan nasional.

 

35)         Kita tidak mengamalkan asimilisasi; kita tak boleh menerap secara paksa budaya kita terhadap orang lain – seperti yang diamalkan di negara-negara keliling kita. Apa yang kita mahu adalah satu integrasi yang mampu mengekalkan rasa hormat bila berdepan dengan budaya masing-masing. Apa yang masih jadi harapan agar kita ada beberapa perkara yang boleh mengikat kita bersama – contohnya bahasa kebangsaan.

 

36)         Tapi lihat saja statistik peserta PLKN, masih ramai yang tak mampu bertutur dalam Bahasa Kebangsaan. Petaka apakah ini untuk bangsa merdeka?Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan, di dadanya tersimpan segala rahsia untuk menyatukan kita, tapi masih ramai yang tak mampu bertutur dalam bahasa Melayu – terutama mereka yang memilih sekolah vernakular.

 

37)         Sekolah vernakular teruskanlah, tapi buatlah sesuatu untuk mengukuhkan perpaduan nasional pertiwi ini. Pastikan murid-murid sekolah vernakular fasih dalam bahasa kebangsaan. Jadilah sebahagian daripada proses integrasi, jangan jadi masyarakat yang tersisih dari yang lain. Tunjuklah sikit semangat cintakan negara. Janganlah banyak mengomel kalau tak boleh berdiri bila Negaraku berkumandang! Tunjukkan pada dunia, bahawa kita rakyat Malaysia.

 

38)         Merintihlah merdeka, pincanglah perpaduan jika kita terus-terusan begini. Dokonglah kerakyatan cara orang terhormat, busungkan dada mu menjulang Malaysia tanpa sebab atau alasan. Kerana jadi rakyat itu maknanya kita sama, kita satu, kita serupa, kita rakyat Malaysia!

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

39)         Menjelang ambang 2020 – kita sudah bercakap soal peremajaan parti, kita juga sudah bercakap tentang hubungan antara kaum – sekarang molek jika kita menyentuh tentang Melayu itu sendiri. Kerana nadi perjuangan UMNO selamanya berdenyut untuk membela bangsa kita. Retorik banyak kedengaran, tapi keputusannya apa? Gerak kerjanya bagaimana?

 

40)         Umum tahu kedudukan ekonomi kita masih berada di paras lebih rendah berbanding kaum lain – itu hakikat.Sehingga kini, pendapatan orang Melayu tetap rendah berbanding kaum lain.Ramai yang cakap, Melayu ada Amanah Saham! Tapi mengikut kajian terkini Dr. Muhammad Abdul Khalid dalam buku Colours of Inequality,  ironis sekali bila pelaburan purata orang kita dalam Amanah Saham hanya RM 600. Bayangkan hanya RM 600 sahaja, sedangkan kita tahu had pelaburan RM200 ribu.

 

41)         Bila menyentuh soal pendidikan, walaupun kerajaan dah beri insentif pengecualian bayaran balik PTPTN untuk pelajar cemerlang, 78% yang dapat pujian kelas pertama dan tak payah bayar balik itu bukan budak Melayu.

 

42)         Apalah nasib badan, sudahlah tersadung di ruang ekonomi dan pendidikan, di kancah gejala sosial pula, orang Melayu berada paling depan. Dalam 10 penagih dadah, 8 anak Melayu. Itu belum lagi dikira, dihitung kes-kes buang bayi, sumbang mahram dan jenayah jalanan.

 

43)         Tapi tak guna kita berbahagi siapa salah, siapa berdosa. Saya mahu kita bangkit, kita tahu, kita faham betapa Melayu memerlukan halatuju yang mantap dalam usaha meningkatkan martabat. Masa tak menyebelahi kita sahabat, sungguh bangsa bertelekan malu kalau kita orang Melayu belum betul-betul maju, tatkala Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 kelak. Lalu bagaimanakita mahu mengubah nasib?

 

44)         Betul kita punya kuasa, tapi setakat ini, apa yang telah kita buat dengan kuasa itu? Cukupkah menggalas perjuangan setakat kuat bertempik “Hidup Melayu” tanpa sebarang strategi? Tanpa pemikiran dan perancangan yang mapan?

 

45)         Perkara wahid dalam hidup adalah semangat dan keberanian untuk mengubah nasib. Kata penulis buku Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer, “Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, yaitu keberanian. Kalau tak punya itu, lantas apa harga hidup ini?”Dalam konteks kita mahu membangunkan martabat bangsa di alaf ini, saya menyeru semua bertindak tanpa lengah, dalam menjayakan agenda Melayu dengan keberanian dan perancangan yang rapi. Apa guna kita gegak gempita mempertahan kedudukan, tanpa menzahirkan aksi dan jasa. Halatuju baharu ini perlu dibaja dengan pencapaian yang jelas nyata, terbukti dengan keberhasilan yang boleh diukur kira.

 

46)         Anggaplah senarai ringkas ini selaku pemangkin aksi, tiupan semboyan yang menyeru untuk kita bertindak. Pertama, soal tanah rizab Melayu. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab, jatuh mendadak dari 50% kepada 12%. Saya mengajak Pemuda ke hadapan, mencari penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914, juga wasiat Raja-Raja Melayu, tak tergadai. Di manakah salahnya kita dalam soal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya adalah: bilapihak berkuasatakmenggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah asal.

 

47)         Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam hal ini, kita akan membawa isu ini untuk ke pentas nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan sepenuhnya. Kita harus semak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah tersebut digantikan dengan segera. Jangan sampai hak kita di bumi ini terus-terusan dicabuli oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Rentung martabat dibakar cuai, kelak bangsa bakal melarat.

 

48)         Pemuda mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis Amanah Tanah Melayu melibatkan semua negeri. Majlis Amanah ini pula jangan hanya melindungi tanah rizab melayu, tetapi juga harus bertanggungjawab memastikan pembangunannya. Apa guna jadi orang bertanah, jika tak dapat menggandakan nilai untuk bangsa nusantara sendiri.

 

49)         Kedua, soal pemilikan hartanah Melayu. Data terkini menunjukkan bumiputera memiliki hanya 5% jumlah hartanah di Malaysia. Pemuda memandang serius perangkaan yang menunjukkan bahawa – meskipun 58% penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah bumiputera – namun peratusan yang sama tidak diterjemahkan menerusi peratusan pemilikan hartanah.

 

50)         Banyak sebab musibat ini berlaku. Pemaju perumahan kalau tak boleh jual kuota bumi dalam tempoh 6 bulan, mereka dapat pengecualian. Ada yang tak bertanggungjawab lagi kuat mengelat. Mereka akan kurangkan promosi sebab tahu akan dapat pengecualian dan boleh jual di pasaran terbuka. Pemuda cadangkan tempoh untuk mencari pembeli bumiputera dilanjutkan selama 3 bulan lagi. Dalam tempoh ini, Pemuda mencadangkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi peluang untuk mencari pembeli bumiputera atau terus menjual unit-unit tersebut kepada GLC-GLC, bagi tujuan memperkasa agenda bumiputera.

 

51)         Seterusnya saudara, siapa tak pernah masuk pusat beli belah di bandaraya-bandaraya besar di negara kita? Kiri kanan kita tengok kebanyakan kedai-kedai ini tak dimiliki orang Melayu. Bila kita hitung kita dapati bahawa di pusat beli belah utama di bandaraya Kuala Lumpur yang mana pemiliknya bukan Melayu, peratusan peniaga bumiputera tak sampai 1%. Yang lebih menyakitkan hati kita, pusat-pusat beli belah yang dimilikki oleh GLC-GLC, termasuk pusat beli belah yang paling tersohor di Kuala Lumpur, hanya ada kurang daripada 3% peniaga bumiputera dalam premis mereka. Bukan kerana tak cukup peniaga-peniaga runcit Melayu tetapi kita pernah dengar cerita di mana mereka diusir keluar dari pusat-pusat beli belah. Kononnya peniaga-peniaga Melayu ini cikai. Keadaan ini perlu berhenti, janganlah Melayu pergi ke kompleks beli belah sekadar tengok-tengok, window shopping sahaja. Intailah juga peluang untuk berniaga dan menambah pendapatan.

 

52)         Program yang ada perlu diperkemas, ruang untuk membantu golongan ini harus diperluaskan untuk menyokong peniaga bumiputera menembusi pasaran runcit  ini. Kita tak mahu peniaga Melayu sekadar menembusi pasaran, kita nak mereka kekal dan mengembangkan perniagaan.

 

53)         Keempat, soal kemahiran dan pendapatan profesional Melayu. Kita amat bangga bila ramai anak Melayu mengorak langkah dalam bidang profesional, berbanding beberapa dekad lalu – satu perkembangan positif untuk negara yang hampir mencapai status maju. Ia juga membuktikan kita orang Melayu tak tercicir dari arus perdana pembangunan.

 

54)         Namun kita bukan mahu berbangga dengan kuantiti anak Melayu dalam sektor korporat sahaja, tetapi juga ingin memastikan lebih ramai orang Melayu berada dalam pekerjaan berpendapatan tinggi. Jika hari ini majoriti pekerja berpendapatan RM 2 ribu sebulan dan ke bawah,rata-ratanya terdiri daripadagolongan orang Melayu, kelak biarlah Melayu turut menguasai pekerjaan-perkerjaan bergaji RM 10, 15 hatta 20 ribu sekalipun!

 

55)         Program-program di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera perlu ditambah. Kita mahu ramai lagi anak muda Melayu ada pentauliahan profesional. Ini bila kita tengok akauntan dan pakar kewangan – jenuh nak cari Melayu. Atau bila kita tengok dalam bidang baru seperti Sains & Teknologi – payah nak cari Melayu. Tapi saya tahu, dalam dewan sekarang, ada profesional-profesional ini. Pemuda sendiri ada program seperti ProSkill bawah Biro Profesional Muda untuk memberi latihan kemahiran insaniah buat para profesional. Tetapi ini tak cukup, kita mesti menggandakan usaha untuk memperkasa dan seterusnya memastikan anak Melayu jadi majoriti dalam bidang profesional.

 

56)         Yang kelima, kita nak bangkitkan sekali lagi isu diskriminasi di tempat kerja terutamanya terhadap orang Melayu dalam sektor swasta. Walaupun sudah diulang berkali-kali, masih ada lagi yang berani mempromosi jawatan kosong, khusus untuk satu bangsa sahaja. Dalam kerajaan, kita tak mengamalkan diskriminasi. Polis dan tentera, juga begitu. Jadi tolong berhenti buat perkara macam ini. Sudah tiba masa kita ada satu akta anti-diskriminasi dalam pengambilan pekerja.

 

57)         GLC pula perlu ingat kepada agenda bumiputera yang diberi. Prestasi Ketua Pegawai Eksekutif jangan hanya dilihat setakat untung sahaja, tetapi agenda bumiputera yang digalas wajib disempurnakan. Ingat pesanan Y.A.B. Presiden semasa ucapan beliau di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun lepas, dengan jelas disebut bahawa semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC diwajibkan meletak sasaran ke atas penyertaan bumiputera, dan ini dimasukkan sebagai KPI kepada C.E.O-C.E.O tersebut. Jadi Pemuda nak tanya, dah setahun dah, kita nak tahu sejauh mana C.E.O-C.E.O telah mencapai KPI mereka? Kalau tak lepas KPI untuk tolong orang Melayu, ramai yang dapat ambil tempat Datuk-Datuk semua.

 

58)         Bila sebut soal perolehan kerajaan dan agenda bumiputera, ada pulak yang memandai mengambil peluang. Penat cari orang, isi borang, kejar status syarikat bumiputera, tapi bila dah dapat kontrak kerajaan eksklusif untuk bumiputera, dijualnya pula kontrak ini kepada syarikat bukan bumiputera. Ada yang berstatus bumiputera, tapi hanya pada nama, hanya pada kertas, untung dan kawalan syarikat di tangan orang lain.

 

59)         Rentetan dari masalah ini, Pemuda bersetuju dengan cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk menubuhkan satu agensi perakuan di bawah SPRM untuk memastikan fenomena ini dapat dikekang. Pemuda juga bersetuju agar syarikat-syarikat yang buat perangai dapat disenaraihitamkan, agar agenda bumiputera kembali ke landasan objektif asal penubuhan.

 

60)         Apa makna pencapaian ekonomi bagai, kalau orang Melayu sebagai orang beragama Islam, akidah tidak dipelihara, syiar agama tidak ditegakkan, nilai murni tidak disemai. Hari ini kita dikepung oleh ekstremisme yang datang dari kiri dan kanan. Dari satu sudut, ektremisme datang dalam bentuk ideologi militan yang menyalahgunakan agama untuk menghalalkan pembunuhan dan kemusnahan. Lihat sahaja kepada usaha kumpulan militan Islamic State (IS) memimpin anak muda kita ke arah durjana. Rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan ini, yang terpedaya bahawa ini jihad sebenar, majoritinya anak muda. Hari ini, satu kertas putih kerajaan tentang ancaman IS terhadap Malaysia sedang dibentang di Dewan Rakyat oleh YAB Presiden sendiri.

 

Ancaman ektremisme agama ini perlu dihentikan serta-merta. Yang perlu kita didik mereka adalah tentang pegangan Wasatiyyah, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143:

 

 

Yang bermaksud: “Dan demikianlah Aku (Tuhan) jadikan kalian umat yang “wasat” (adil, tengah-tengah, terbaik) agar kalian menjadi saksi (syuhada’) bagi semua manusia, dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi (syahid) juga atas kalian.”

 

Baik kita beri anak muda Islam kita, yang cukup idealistik, peluang lain nak salurkan kudrat mereka. Kita ajak mereka bantu anak muda Islam berniaga tambah pendapatan, ajak mereka mengajar rakan seagama yang tiada peluang pendidikan, ajak mereka bina rumah untuk mereka yang tak berumah kerana negara mereka miskin yang amat. Bina perigi di kampung pedalaman tanpa bekalan air dapat pahala. Bunuh orang awam secara kejam ikut perjuangan IS yang dapatnya dosa.

 

61)         Dari sudut lagi satu, masyarakat kita berdepan pengaruh buruk dibawa gaya hidup bebas dan songsang. Kalau ini kita tak bendung, alamat runtuhlah akhlak anak bangsa kita dek ekstremisme sosial. Yang paling baik kalau kita didik mereka, ajar mereka untuk jauhi gejala sebegini. Tapi didikan dan ajaran bagus mana sekalipun perlu disokong dengan pengukuhan pentadbiran undang-undang syariah. Kami menyeru kerajaan untuk benar-benar merungkai konflik antara perundangan syariah dan sivil dengan mengambilkira keresahan umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip ketertinggian Perlembagaan Persekutuan.

 

62)         Agenda Melayu seperti yang saya perbutirkan tadi perlu dijadikan KPI kolektif di setiap paras perjuangan kita. Selesai persidangancepat-cepat ambil tindakan, jangan berdiam diri, jangan berlengah lagi. Gunalah kekuatan kudrat Pemuda untuk menggerakkan, memperkasa agenda bangsa kita sendiri.

 

63)         Saya merayu agar Pemuda jadi mata dan telinga kerajaan. Kita pantau di peringkat bahagian, kita buat satu mekanisme pengumpulan data, agar boleh diguna pakai oleh kerajaan. Saya nak beri anda semua satu tugasan, satu KPI. Sila kenal pasti berapa banyak profesional Melayu di bahagian anda; sila kira berapa banyak kontraktor Melayu dapat kontrak kerajaan di bahagian anda; sila hitung berapa ramai anak Melayu masuk universiti di bahagian anda; sila sukat berapa banyak anak muda Melayu terlibat dalam gejala sosial, merempit sana sini, dan hisap dadah di bahagian anda. Kita akan tubuhkan satu sekretariat khas di peringkat pusat bagi membantu pemantauan perlaksanaan agenda Melayu di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan Skor Kad Pematuhan untuk agenda Melayu. Kita selalunya ada perancangan tapi kurang menyerlah bila tiba bab implementasi. Sekarang Pemuda akan tampil ke hadapan untuk memastikan agenda Melayu ini dipatuhi sepenuhnya.

 

64)         Melayu itu bukan bangsa yang gagal; Melayu itu bukan bangsa yang sentiasa perlu ditongkat, Melayu tak tohor pencapaian. Sungguh Melayu maha perkasa, dari Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, Gangga Negara mahupun Srivijaya, orang Melayu lah yang membawa ketamadunan ke Tanah Melayu sejak kurun pertama lagi.

 

65)         Kerajaan Melayu lah yang mula mencipta struktur perundangan dan menyemai benih kesatuan penduduk Nusantara. Bibit yang kemudiannya mencetus konsep budaya dan bangsa, atas asas kejayaan kuasa politik Melayu. Kepimpinan Melayu lah yang mula membawa perdagangan dan pendedahan kepada dunia luar. Kemudian datang kejayaan yang lebih berganda di zaman Kesultanan Melayu Islam yang masih kekal hingga sekarang, di mana wilayah ini pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia – digores pengaruh ketamadunan hebat Arab dan Parsi, China dan India – diiktiraf pula oleh para penulis dan pengembara ternama, dari Marco Polo hinggalah ke Laksamana Cheng Ho. Tetapi mewarisi legasi itu payah, justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu perlaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan. Nah, sejarah sudah menunjukkan Melayu ini tamadun yang hebat, inilah masanya untuk membuktikan kehebatan kita bukan setakat dalam buku sejarah – Melayu itu hebat dulu, kini dan selamanya!

 

 

 

PART 2 – MALAYS AND NON-MALAYS

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

Sebagai sebuah negara majmuk tidak ada isu yang lebih mendasar dan penting dari bagaimana mengurus pasang-surut perhubungan antara kaumyang ada di Malaysia. Jika perhubungan antara kaum diurus dan berkeadaan baik, maka negara akan aman dan rakyat akan makmur namun jika sebaliknya negara akan bergolak dan rakyat merana.

 

Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda baru lima puluh satu tahun terbentuk. Kita bukan sahaja negara yang berbilang kaum tetapi juga majmuk agama, budaya, bahasa dan berbeza tahap pembangunan sosioekonomi. Inilah hakikat kompleksiti masyarakat Malaysia yang tanpa kesetaraan. Di sesetengah negarakemajmukan yang melibatkan hanya satu faktor sekalipun boleh menyebabkan tragedi apatah lagi jika ia melibatkan pelbagai faktor. Bahawa ini tidak berlaku semenjak tragedi 13 Mei merupakan bukti kebijaksanaan pengurusan perhubungan kaum di Malaysia.

 

 

Sejarah telah menunjukkan apabila Bapa-bapaPengasas Negara membina jambatan dan meruntahkan tembok pemisahan antara kaum dengan mempelopori perkongsian kuasa melalui Parti Perikatania telah mendapat sambutan majoriti rakyatpelbagai kaum. PilihanRaya 1955 menyaksikan Parti Perikatanmemenangi 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Sokongan dan dokongan kuat masyarakat pelbagai kaum inilahyang telah meyakinkan Inggeris untuk memberikan  kemerdekaan kepada Malaya dua tahun kemudian.

 

Pengurusan perhubungan antara kaum di Malaysia berjaya kerana falsafahnya tidak didasarkan kepada proses assimilasimahupun dominasi kaum minoriti oleh kaum majoriti sepertimana yang berlaku di negara-negara majmuk lain di dunia. Sebaliknya perpaduan di Malaysia dipandu oleh  falsafah integrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta bertunjangkan Kontrak Sosial.

 

Kontrak Sosial ialah satu kontrak timbal balas yang berasaskan pengorbanan dan tolak ansur semua kaum di Malaysia, tanpanya tidak mungkin kita akan memperoleh kemerdekan dan mencapai kemajuan sepertimana yang dinikmati hari ini.  TERAS UTAMA kontrak ini melibatkan pengorbanan orang Melayu berkongsi hak Tanah Melayu  dengan kaum bukan Melayu melalui pemberian kewarganegaraan. Sebagai timbal balasnya ialah Perkara 153 iaitu peruntukan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Namun kebelakangan ini kita telah mendengar suara-suara sumbang yang  semakin lama semakin nyaring, suara-suara yang biadap mengguris hati dan perasaan orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera. Suara-suara inimempersoalkan dan mengungkit kembali isu-isu teras yang telah dipersetujui bapa-bapa pengasas negara melalui pemeterian kontrak sosial.  Kenapakah sarang tebuan hendak dijolok, kenapakah harimau tidur hendak diganggu, kenapa dibangkit dan dipersoalkan kembali isu-isu seperti hak istimewa orang Melayu, kedududkan agama Islam, Bahasa Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

 

Saya ingin menegaskan di sini bahawa orang orang Melayu “have kept their end of the bargain on the social contract” kita telah bersetuju mengadakan syarat kerakyatan berasaskan prinsip “jus soli” yang mana telah membolehkan begitu ramai orang bukan Melayu menjadi rakyat. Kesan politiknya amat besar kerana kerakyatan membawa dengannya kunci kuasa politik Misalnya pada pilihanraya 1955 dari 1.28 juta pengundi berdaftar1.078 juta ataulebih 84 peratus adalah terdiri dari Orang Melayu dan  hanya 143 000 orang  pengundi atau 11 peratus terdiri dari pengundi kaum Cina manakala 50 000 pengundi atau 4 peratus pula terdiri dari pengundi kaum India.

 

Apabila pilihanraya umum pasca merdeka pertama diadakan pada tahun 1959dengan syarat kerakyatan yang lebih liberal jumlah pengundi berdaftar telah bertambah kepada  2.14 juta dan pecahan peratusan pengundi mengikut kaum telah berubah dengan drastik. Ia menyaksikan  peratusan pengundi Melayu berkurang kepada 56.8 peratus manakala peratusan pengundi Cina pula  bertambah kepada 35.9 peratus dan peratusan pengundi India kepada 7.4 peratus. Pertambahan peratusan ini berlaku kerana peningkatan jumlah warganegara.

 

Semenjak merdeka orang Melayu tidak pernah mengungkit apatah lagi  mempersoalkan kembali  syarat-syarat kerakyatan yang telah dipersetujui. Ya ada orang-orang Melayu yang disebabkan sudah tidak tahan mendengar ungkitan-ungkitan tentang hak mereka bertindakbalas dengan melabel kaum bukan Melayu sebagai “pendatang”. Namun harus dingat perbuatan ini tidak sama dengan mempersoal atau mengungkit kembali hak-hak  yang telah dipersetujui. Hakikatnya kalau kita hendakkan sebuah Malaysia yang aman yang berasaskan kepada prinsip “live and let live” maka kamu hendaklah menghormati hak kami sepertimana kami selama ini menghormati hak kamu. Kepada orang Melayu pula marilah kita berpijak di bumi nyata dan mengambil sikap bahawa semua warganegara Malaysia yang majoriti besarnya lahir di bumi tercinta ini bukannya pendatang tetapi saudara sewarganegara.

 

 

Namun perlu diinsafi bahawa kewarganegaraan bukan sahaja datang dengan hak serta keistimewaan ianya juga datang dengan tanggungjawab serta pengorbanan. Kita tidak dapat menyalahkan orang Melayu dan Bumiputera jika meragui iltizam kaum lain terhadap negara.  Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia untuk berjaya semua pihak harus membina jambatan dan meruntuhkan tembok yang ada diantara kaum-kaum. Namun rungutan bangsa Melayu dan Bumiputera yang semakin nyaring ialah kenapa prakarsa meruntuhkan tembok dan membina jambatan hanya nampak bersungguh-sungguh di kalangan kaum majoriti sahaja.  Kenapa pula semua inisiatif untuk membina jambatan dan meruntahkan seperti Sekolah Wawasan ditolak kaum bukan Melayu.Sebaliknya kenapa pula perlakuan ingin membina tembok yang lebih tinggi di dilakukan kaum bukan Melayu seperti perjuangan pengktirafan sijil UEC yang jika diterima  ibarat seperti membina tembok kekal dalam sistem pendidikan negara.

 

Kenapa setelah lebih lima puluh tahun merdeka masih ada anak-anak Malaysia yang gagal menguasai Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi dengan fasih. Dalam kita tidak menghalang kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Menengah Persendirian Cina namun kita merasa amat prihatin kenapa penguasaan Bahasa Melayu di kalangan anak-anak Malaysia pasca merdeka masih tidak memuaskan. Adakah penguasaan Bahasa Melayu dianggap menjejaskan jatidiri etnik masing-masing.

 

 

Keikhlasan Kerajaan BN dalam isu bahasa dan pendidikan tidak mampu disangkal oleg sesiapapun. Iltizam ini dibuktikan  semasa penggubalan Akta Pendidikan 1996 bagi menggantikan Akta Pelajaran 1961. Dalam Akta yang baru Kerajaan BN telah memansuhkan peruntukan Seksyen 21 Subsekyen 2 yang terkandung dalam Akta Pelajaran 1961. Seksyen 21(2) memberi kuasa kepada Menteri untuk menukar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan kepada Sekolah Kebangsaan. Harus diingat bahawa ketika Ketua Pembangkang  menjadi Menteri Pendidikan (1986-1991) walaupun beliau menubuhkan Majlis Perundingan Akta Pendidikan untuk membincangkan penggantian Akta yang lama namun beliau sama sekali tidak mempunyai keberanian moral untuk melakukannya.

 

Bagi  memastikan tidak ada pihak yang boleh menangguk di air keruh maka  Pergerakan Pemuda UMNO ingin mendesak pihak kerajaan bahawa jika Akta Hasutan hendak diganti dengan Akta yang baru maka isu-isu seperti ini IAITU MEMPERSOAL DAN MENGUNGKIT  isu-isu yang sensitif seperti KONTRAK SOSIAL yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu ditangani.

 

Kita mahukan pertamanya undang-undang yang jelas yang tiada kekaburan iaitu yang menyatakan jika mana-mana pihak menggunakan isu agama dan kaum untuk memecahbelahkan masyarakat maka tindakan boleh diambil kepada mereka Kedua Kita mahu perbuatan mempersoalkan peruntukan Perkara 3 iaitu Agama Islam  sebagai agama rasmi negara dihukum peruntukan ini juga perlu dilindungi secukupnyabukannya sepertimana yang ada sekarang. Begitu juga kita mahuPerkara 152 kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi dilindungi dan tidak dipersoalkan, Perkara 153 berkenaan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dilindungi dan tidak dipersoalkan apatah Perkara 181 mengenai Kedaulatan Raja-Raja Melayu dilindungi dan sama sekali tidak dipersoalkan. Jika hendak dibuat Akta baru pastikan bahawa ia melindungi dan mempunyai perlindungan yang secukupnya dengan menggubalnya di bawah Perkara 10 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.

 

Sama ada Akta Hasutan dikekalkan atau digantikan Akta Keharmonian Nasional tidak akan bermakna apa-apa jika proses pendakwaan tidak dijalankan secara tegas. Kita mahukanpihak Pendakwa Raya menjadikan kes-kes yang melibatkan penggunan agama, kaum, bahasa, kedaulatan raja-raja dan lain-lain isu yang sensitif sebagai alat pemecah belah masyarakat keutamaan untuk pendakwaan. Jika ada kes maka terus dakwa tanpa “fear or favour”  tanpa mengira kaum, agama mahupun status sosioekonomi.  Dakwa mereka yang mahu bakar kitab suci agama tanpa mengira agama apa. Jika undang-undang longgar maka beri cadangan kepada kerajaan bagaimana untuk diketatkan, jika tidak cukup undang-undang cadangkan penambahan. Sebagai anggota Kabinet saya beri komitmen untuk sokong dan perjuangkan.

 

Jika undang-undang dikuatkuasaskan dengan tegas dan menyeluruh maka saya percaya kita akan dapat mengurangkan suhu panas yang sedang menyelubungi perhubunganantara kaum di Malaysia kini. Janganlah biar sampai ada tanggapan bahawa  jika ia melibatkan isu satu kaum cepat sahaja kerajaan bertindak namun apabila melibatkan sensitiviti kaum majoriti liat kerajaan mahu bertindak.

 

 

 

PART 3 – ANALYSIS OF MALAYS

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

Tatkala kita memikirkan soal hubungan antara kaumserta peri penting memelihara kepentingan semua kaum di Malaysia, kita juga perlu mewujudkan satu kesedaran mendalam mengenai nasib dan halatuju bangsa Melayu. Kita menginginkan keharmonian dan integrasi kaum selaku asas kepada kemajuan buat semua kelompok di Malaysia. Kita perjuangkan kontrak sosial bukan semata-matamempertahan sesuatu model atau ramuan masyarakat majmuk, tetapi kerana kepercayaan bahawa ia juga merupakan landasan terbaik untuk memperjuangkan agenda bangsa.

 

Persoalannya, setelah 57 tahun Merdeka,adakah bangsa Melayu sendiri telah menggunakan landasan ini sebaiknya untuk memajukan diri? Adakah kerangka kontrak sosial yang memberi pelbagai keistimewaan dan hak-hak tertentu kepada Bumiputera telah dimanfaatkan sepenuhnya? Jangan orang lain menjawab, biar kita sendiri yang menganalisa.

 

Benar, sejak penubuhan Malaysia, bangsa Melayu telah mencapai kemajuan seiring dengan pertumbuhan sosioekonomi negara. Berbanding kedudukan kita pada zaman 50an dan 60an, Melayu sekarang bukan sekadar kelompok serba tercicir tak mampu bersaing dengan yang lain. Bukan lagi kelompok tanpa kuasa ekonomi dan kewangan;tetapi satu bangsa berijazah dan berkemahiran. Bukan sekadar diambil selaku tenaga kerja di perusahaan milik lain, tetapi kaum yang punya usahawan dan tokoh korporat berjaya di tanah sendiri.

 

Tetapi dalam kita mencermin situasi, biar lah kita teliti dan perhalusi dengan ikhlas. Biar lah kita berani menghadapi realiti dan kebarangkalian bahawa sebenarnya prestasi dan pencapaian sosioekonomi Melayu masih jauh dari memadai.

 

Kedudukan ekonomi kita masih ketinggalan berbanding dengan kaum lain. Pendapatan isi rumah sekitar RM4,500 sebulan masih di bawah purata nasional. Sehingga tahun 2012, purata pendapatan orang melayu kita masih paling rendah berbanding rakan-rakan Cina dan India kita, tak kira bagi kelas pertengahan mahupun yang 40% terendah.Lebih menghairankan, walaupun kepincangan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan memperkaya segilintir melayu tidak diterjemah kerana purata pendapatan isi rumah bagi 20% tertinggi masih paling rendah pada hanya RM10,700 berbanding purata nasional melebihi RM12 ribu. Meskipun kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan secara mendadak, Bumiputera masih merupakan golongan paling ramai dalam kategori tersebut.

 

Dalam pada kita berbicara mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu yang terkebelakang, sayu hati ini bila mengenang beban yang dikendong oleh bangsa kita yang bukan sahaja mengecut kantung sakunya tetapi juga menanggung saraan keluarga yang lebih besar daripada kaum-kaum lain.

 

Itu sekadar antara petunjuk makro menggambarkan situasi ekonomi Melayu. Gambaran data lain juga tidak meletakkan kita dalam keadaan selesa meskipun pelbagai skim dan institusi ekonomi yang dibentuk bertujuan melonjak status Bumiputera. Misalnya, purata nilai pegangan pelabur Amanah Saham Bumiputera yang hanya sekitar RM 600sedangkan umum mengetahui had pelaburan RM200 ribu. Mengalih pandangan kepada soal saham di papan Bursa pula, daripada RM 54 bilion saham yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera dari tahun 1971, hanya RM 2 bilion yang masih kekal milik pelabur kita.

 

Pencapaian generasi muda Melayu memberi sinar harapan. Saban tahun, institusi pengajian tinggi kita melahirkan ratusan ribu lepasan universiti. Kita bersyukur atas peningkatan ini; berbanding generasi terdahulu, ramai anak Melayu hari ini bergelar siswazahdan sebahagian besar yang tidak ke IPT memperoleh kelayakan dari lepasan institusi kemahiran dan vokasional yang tidak kurang hebatnya dari universiti. Namun, angka-angka ini belum memberi jaminan kualiti lepasan Bumiputera yang dikehendaki pasaran pekerjaan tempatan, apatah lagi sepertimana perlu dalam membentuk jatidiri dan modal insan yang mampu bersaing di persada antarabangsa.

 

Mungkin ada antara kita mengeluh apabila menyedari data bahawa 78% daripada pelajar cemerlang yang mendapat pengecualian pembayaran balik pinjaman PTPN datang dari kaum bukan Melayu – sedangkan kita tahu PTPTN diwujudkan antara lain bagi memastikan segenap anak Melayu diberi pembiayaan melanjutkan pelajaran. Mengapa kaum lain pula dilihat mendapat manfaat pinjaman beralih biasiswa? Tetapi sedarlah, disebalik rintihan itu timbul suatu kekesalan. Kesal kerana prestasi pelajar kita masih rendah berbanding kaum lain.

 

Mengimbas pencapaian ekonomi dan pendidikan mungkin memilukan hati. Menatap nasib dan nilai kemasyarakatan Melayu pula tidak kurang pedihnya. Sudah menjadi buah mulut umum bahawa ramai anak Melayu terjebak dengan gejala sosial. Sekali lagi, fakta mengiakan persepsi tersebut. Contohnya, daripada jumlah penagih dadah yang dikesan oleh Agensi Dadah Kebangsaan, lebih 80 peratus terdiri daripada golongan Bumiputera. Ini belum lagi mengambilkira kes-kes lain seperti buang bayi, sumbang mahram, mahupun jenayah jalanan. Apakah kelompok yang tertinggi dalam gejala-gejala tersebut? Apakah kita tidak sedih melihat wajah ibu-ibu apabila anak mereka diheret ke mahkamah dan dihantar untuk mengikuti ‘kursus’ di pusat-pusat serenti?

 

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

Tentunya saya menggariskan fakta-fakta ini bukan untuk mengaib jauh sekali menjatuhkan kaum sendiri. Niat saya untuk meningkatkan kesedaran betapa bangsa Melayu kita hari ini memerlukan satu halatuju jelas dalam mujahadah meningkatkan martabatsejajar dengan sebuah bangsa berjiwa besar, bermaruah tak lekang jua.

 

Lebih penting, kita bukan seperti Labu dan Labi mengesali takdir tanpa sebarang sudut pandang dan semangat mengubah nasib sendiri.Dalam konteks ini, kita tak perlu merenung sayu, mengamat jauh, mencari inspirasi kebangkitan Melayu. Kerana sejarah kita sendiri cukup mengisahkan satu zaman kegemilangan yang membuktikan akar Melayu yang berdaulat, disegani seantero dunia sebagai pemimpin peradaban yang hebat.

 

Apa tidaknya, baik Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, Gangga Negara mahupun Srivijaya, orang Melayulah yang membawa ketamadunan ke Tanah Melayu sejak kurun pertama lagi. Kerajaan Melayu lah yang mula mencipta struktur perundangan dan menyemai benih kesatuan penduduk Nusantara; bibit yang kemudian bercambah kepada konsep budaya dan bangsa berasaskan ketaatan kuasa politik Melayu. Kepimpinan Melayu lah yang mula membawa perdangangan dan pendedahan kepada dunia luar. Itu belum lagi menyentuh zaman Kesultanan Melayu Islam yang masih kekal sekarang, dimana wilayah ini pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia – disentuh pengaruh ketamadunan hebat Arab dan Parsi, China dan India – diiktiraf penulis dan pengembara ternama, dari Marco Polo ke Laksamana Cheng Ho.

 

Saya mengungkit hakikat dan sejarah kegemilangan Melayu juga untuk menegaskan kepada semua; betapa sumbangnya suara yang cuba mempersoal status istimewa Melayu. Nenek moyang kita telah mula bertapak berkurun-kurun lamanya; jauh sebelum bangsa penjajah mula berpijak di tanah ini; jauh sebelum penubuhan negara bangsa majmuk berasaskan prinsip jus soli. Apatah lagi, polemik tarikh ketibaan Melayu sepatutnya tidak timbul; dijaja oleh mereka yang berpegang kepada konsep pemikiran dan hujah palsu menganggap semua manusia adalah pendatang.

 

Bercakap mengenai isu Melayu yang dikatakan sebagai gerombolan pendatang dari Indonesia, ingin saya mengutarakan pencerahan di sini bahawa itu adalah tempelan yang pincang faktanya. Sewajarnya diteliti bahawa Kepulauan Melayu atau Nusantara adalah gugusan pulau terbesar di dunia mencakupi 7 ribu pulau merentasi batas persempadanan yang di kenali kini Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei hatta Papua New Guinea. Oleh itu, sebarang perpindahan dahulu kala bukannya satu penghijrahan asing tetapi pergerakan domestik antara pulau ke pulau di dalam Nusantara. Hanya setelah penjajah Eropah datang sekitar kurun ke 16, maka gugusan kepulauan ini terpecah belah dan terjadinya persempadan kenegaraan. Jadinya, cuba bayangkan apakah boleh kita terima penghijrahan dalaman seperti orang Kelantan ke Selangor dianggap sebagai pendatang?

 

Perlu kita tegaskan bahawa ia juga berkisar hakikat bahawa tanpa Melayu maka tak wujud peradaban dan kemasyarakatan, tak wujud asas tamadun manusia di tanah ini. Inilah sebabnya kita adalah bangsa pribumi; jangan sekali-kali kita biarkan anak-anak kita alpa jatidiri; jangan sekali-kali kita benarkan sesiapa cuba memesong suatu fakta yang hakiki.

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

Peranan bangsa kita terpahat dalam sejarah. Dalam konteks kita mahu membangunkan kembali martabat bangsa kontemporarisejajar dengan kegemilangan kita yang terdahulu, saya mengajak semua bertindak berdasarkan halatuju baru bangsa Melayu. Tiada gunanya kita hanya bersuara mempertahankan sesuatu kedudukan dan statustanpa menzahirkan aksi dan jasa. Halatuju baru ini perlu memperlihat peningkatan pencapaian yang jelas nyata, terbukti dengan keberhasilan yang boleh diukur kira.

 

 

Kita kembali kepada beberapa petunjuk dan aspek kehidupan Melayu hari ini. Mustahil untuk saya gariskan satu persatu pengukur kedudukan Melayu, tetapi anggaplah senarai ringkas ini selaku pemangkin aksi, semboyan untuk kita bertindak.

 

Pertama, soal tanah rizab Melayu dimana baru-baru ini kita dikejutkan dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab jatuh mendadak dari 50% kepada 12%. Saya mengajak Pemuda ke hadapan bertindak mencari penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914 lagi tidak tergadai. Jangan sampai sudah kita terhantuk, baru terngadah. Di manakah silapnya kita dalam hal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya ialah kerajaan Negeri tidak meggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan status tanah rizab Melayu, sejajar dengan perkara 89 (3) yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam hal ini, kita akan membawa isu ini untuk diketengahkan di pentas nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri diperkukuh. Kita harus menyemak semula senarai tanah rizab yang diwartakan keluar dan mengambil langkah susulan untuk menggantikan tanah-tanah tersebut. Jangan sampai hak kita di bumi sendiri ini terus dicabuli dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Kedua, soal pemilikan hartanah Melayu, dimana data terkini menunjukkan bahawa Bumiputera hanya memiliki 5 peratus jumlah hartanah di Malaysia. Pemuda telah berjaya mengenengahkan agenda perumahan sehingga idea kita seperti Bandar Belia dengan perumahan mampu milik dan kemudahan mesra orang muda diiktiraf dan diangkat dalam Belanjawanbaru-baru ini. Kita perlu mempergiat usaha bagi memastikan bahawa pembahagian pemilikan hartanah lebih mencerminkan pecahan demografi Malaysia. Pemuda memandang serius perangkaan yang menunjukkan bahawa meskipun 58 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera, namun angka yang sama tidak diterjemahkan menerusi peratusan pemilikan hartanah. Ini agenda utamabukan hanya atas sebab gaya hidup, tetapi juga untuk kelangsungan ekonomi golongan muda memastikan lebih banyak pinjaman dan perbelanjaan Melayu disalurkan kepada perkara-perkara yang lebih produktif – bukannya terbeban dengan hutang kad kredit dan kenderaan semata-mata.

 

Ketiga, soal kemahiran dan pendapatan profesional Melayu. Kita berbangga ramai anak Melayu bertapak di arena profesional berbanding beberapa dekad lalu – satu perkembangan yang amat positif untuk negara yang mahu mencapai status maju; membuktikan Melayu tidak tercicir dari arus perdana pembangunan Malaysia. Contohnya, jumlah doktor, jurutera dan arkitek bertauliah dari kalangan Melayu melonjak tinggi daripada hanya 4 peratus pada tahun 1970 kepada 50 ke 60 peratus hari ini. Namun, kita bukan sahaja mahu berbangga dengan kuantiti anak Melayu dalam sektor korporat, tetapi juga ingin memastikan pembabitan lebih tinggi orang Melayu dalam pekerjaan berpendapatan tinggi – kalau hari ini majoriti pekerja berpendapatan bulanan RM 2 ribu ke bawah adalah terdiri dari kalangan orang Melayu, biarlah kelak Melayu turut menguasai pekerjaan-perkerjaan dengan gaji RM 10, 15 atau 20 ribu sekalipun. Dalam hal ini, Pemuda perlu ke hadapan untuk menyumbang kepada kesiapsiagaan anak Melayu supaya melengkap kemahiran, meningkat produktiviti sekaligus menguasai pendapatan yang lebih lumayan. Kita harus memperkasa politik khidmat bakti yang kita amalkan, dengan menyediakan latihan-latihan yang mampu untuk mengasah kemahiran insaniah dan juga menyediakan khidmat sokongan untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera yang lebih bertauliah.

 

Keempat, soal pencapaian usahawan dan syarikat milik Bumiputera. Seringkali umum diingatkan tentang hadith Rasulullah s.a.w. yang menyebut bahawa sembilan daripada sepuluh rezeki datangnya dari perniagaan. Alhamdulillah, kaum Bumiputera telah lama menjiwai prinsip hadith tersebut – semua dikalangan kita mengenali ramai sahabat Bumiputera bergelar peniaga, pengusaha dan ‘businessman’; barangkali dalam dewan ini pun ada yang sudah menjadi jutawan hasil keringat dan kreativiti mengurus perniagaan sendiri. Sehinggakan ramai yang berkata UMNO ini hanya merupakan parti yang dianggotai para kontraktor. Kita biarkan suara-suara sumbang itu terus berlegaran, kerana apa yang lebih penting kita mahukan biar lebih ramai berjaya seperti saudara semua. Jika hari ini syarikat Melayu merupakan sekitar 13 peratus syarikat dengan jualan tahunan RM 5 juta ke atas, dan 11 peratus syarikat tersenarai di papan Bursa, kelak kita mahu angka-angka ini meningkat sehingga majoriti usahawan Melayu telah memiliki syarikat dengan pulangan lebih besar. Dalam hal ini, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) haruslah turut memainkan peranan dalam mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera, selaras dengan cadangan yang digariskan oleh YAB Presiden kita dalam memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi penyediaan akses ke pasaran yang lebih mudah buat usahawan Bumiputera.

 

Kelima, soal pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera. Perkara ini sudah lama dibahaskan sejak awal kewujudan Dasar Ekonomi Baru lagi. Benar, pemilikan ekuiti Bumiputera, yang pada 1970an hanyalah berada pada paras 2.4%, kini telah meningkat kepada 24% pada hari ini. Namun demikian, kita harus melipatganda usaha agar angka tersebut meningkat kepada 30% yang merupakan antara matlamat asal DEB, apatah lagi cuma tinggal 5 tahun sebelum kita melangkah ke tahun 2020. Pemuda juga wajar memikirkan mekanisme dan tindakan supaya ekuiti Bumiputra berkembang lebih pantas daripada pertumbuhan ekuiti korporat di Malaysia, amnya. Dalam hal ini, Pemuda menggesa agar kerajaan memperuntukkan dana tambahan bagi dilaburkan oleh Ekuinas ke dalam sektor-sektor ekonomi yang penting pada hari ini. Pada masa sama, pembiayaan kewangan yang lebih meluas harus diberikan kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa untuk meningkatkan lagi pemilikan ekuiti terutamanya menerusi pengambilalihan syarikat yang sudah dan berpotensi tersenarai di papan Bursa Malaysia.

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

Saban tahun dalam ucapan dasar Ketua Pemuda saya menyentuh tuntutan amanah kita selaku pemimpin. Hari ini saya menggesa saudara semua memikirkan legasi peninggalan masing-masing dalam sayap Pemuda. Hari ini saya melontar cabaran kepada diri saya dan sahabat sekalian untuk kita menyumbang kepada agenda memartabatkan bangsa melalui pencapaian dan prestasi. Kalau sebelum ini ramai menyifatkan zaman dan kilang Pemuda sebagai institusi mengasah bakat kepimpinan politik yang matang, biarlah selepas ini Pemuda juga dilihat sebagai landasan yang benar-benar membantu agenda bangsa secara langsung. Paling tidak, sebelum pencen umur Pemuda, biarlah kita tinggalkan sumbangan jelas, dalam lima perkara yang saya sebut di atas. Apa salahnya kita masing-masing menjadikannya KPI peribadi kita.

 

 

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

66)         Sudah lebih setahun kita menewaskan pembangkang dalam PRU13. Walaupun kita tawan 54% anak muda Melayu, pertempuran PRU14 bakal jadi lebih sengit lagi. Apatah lagi dengan penambahan hampir 5 juta pengundi baharu.

 

67)         Sebelum saya memberi cadangan-cadangan Pemuda untuk pertimbangan kerajaan, ingin saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Y.A.B. Presiden yang telah menzahirkan keinginan anak muda melalui pembentangan belanjawan yang lalu. Bukan hanya peruntukan untuk belia dipertingkat, isu-isu umum seperti perumahan dan keusahawanan nampak digubal mengikut langgam orang muda.

 

68)         Dan ini memantapkan lagi evolusi Pemuda UMNO di bawah pimpinan kita semua. Jika empat tahun lalu kita ubah haluan ke arah politik khidmat bakti, kini kita pertajamkan lagi strategi ini. Kita tajamkan dengan cara berpolitik berpengaruh di mana Pemuda terus membentangkan cadangan untuk orang muda kepada pucuk pimpinan kerajaan, yang terbukti senantiasa bersedia menerima cadangan bernas. Contoh politik berpengaruh yang saya maksudkan tadi adalah rumah transit yang tercetus daripada idea Pemuda sendiri, yang telah menyempurnakan impian belia berkahwin untuk menyewa tempat berteduh yang tak jauh dari ibu kota. Terima kasih kepada mantan Setiausaha Pemuda UMNO, Y.B. Datuk Abdul Rahman Dahlan, kerana telah mengotakan cita-cita Pemuda ini. Kerana menjadi seorang Menteri yang bukan hanya mendengar suara Pemuda, tetapi yang telah bertindak atas desakan kami.

 

69)         Memang benar sudah banyak yang diberi untuk anak muda. Tapi izinkan saya menyatakan keinginan Pemuda untuk sebuah urus janji baharu berkenaan anak-anak muda Malaysia. Halangan tak pernah surut, kos sara hidup terus meningkat, begitu juga dengan keperluan dan kebajikan generasi muda negara.

 

70)         Dalam akad urus janji baharu ini, dari aspek kos sara hidup, isu perumahan kekal jadi faktor utama kesempitan anak muda. Sejak tahun 2012, kenaikan tahunan purata harga rumah meningkat 10%, berbanding kenaikan tahunan pendapatan median yang hanya sebanyak 8%. Purata harga rumah pula 5.5 kali ganda berbanding pendapatan median, walhal hanya 5.1 kali ganda di Singapura dan 4.7 kali ganda di UK. Mana mungkin dapat kita membentuk generasi yang mencintai Malaysia sebagai rumah mereka, jika mereka hanya mampu pandang, mampu idam, tapi tak boleh nak beli rumah sendiri.

 

71)         Walau begitu, Pemuda berterima kasih atas usaha kerajaan untuk terus membantu anak muda dalam kemelut ini. Pemuda menyambut baik Bandar Belia yang diterjemahkan melalui 1Malaysia Youth Cities. Idea yang dibawa Pemuda sendiri akan bermula dengan tiga projek perintisnya, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan objektif mengikuti naluri kehendak belia. Skim Perumahan Belia juga diumumkan untuk belia dalam Belanjawan 2015. Semua Ini kami amat alu-alukan.

 

72)         Walaubagaimanapun, di  Kuala Lumpur untuk tahun ini sahaja, jumlah pasangan belia yang berkahwin, sudah lebih 14,000.  Mana cukup 20,000 unit melalui Skim Perumahan Belia yang saya sebut tadi untuk seluruh negara. Justeru skim ini biar jadi skim tahunan yang kekal dengan unitnya diperbanyakkan lagi untuk tahun-tahun mendatang. Rumah transit  sebanyak 632 unit pun tak cukup. Walaupun lokasinya molek, intipatinya bersesuaian, mesti ditambah lagi demi menjaga kebajikan anak-anak muda yang baru mahu memulakan keluarga.

 

 

73)         Bukan itu sahaja, pemaju-pemaju juga perlu beri kemudahan bina kemudian jual atau tidak kembalikan Skim Pemaju Tanggung Kadar Faedah (DIBS)untuk golongan muda. Jangan kita rosakkan harapan mereka memiliki rumah pertama dengan hutang bunga dan rumah terbengkalai. Tapi ada yang bantah yang kata pemaju kurang untung sebab kena bayar kos pembiayaan. Jangan sembang sembarang, jangan nak tamak – kita tahu margin untung pemaju di AS hanya 12%, di Thailand hanya 14%, tapi untung pemaju Malaysia melambung setinggi 21%.

 

74)         Pemuda juga sambut baik tindakan kerajaan negeri Johor yang menyenaraihitamkan 28 pemaju kerana gagal membina rumah mampu milik. Jangan beri mereka projek baharu, jika tak dapat penuhi amanah bina tempat berteduh pada harga berpatutan. Pemuda rasa amat wajar jika tindakan sebegini diperluas ke seluruh negara.

 

75)         Bila cakap pasal isu sara hidup, bebanan hutang orang muda sudah lama berada dalam radar perhatian Pemuda. Lebih merunsingkan, kadar anak muda bawah umur 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini sahaja, meningkat sebanyak 178% berbanding tahun lepas. Bayangkan anak muda kita, yang baru keluar universiti setahun dua, yang baru ingin mendirikan rumah tangga tapi diisytihar bankrap. Gelap dan punah masa depan mereka.

 

76)         Tak tersangkal hutang perlu dibayar balik. Kesannya pada orang lain, pada peminjam di masa depan. Tetapi ada pula tukang kutip hutang atau ‘debt collector agents’ yang melampaui batas. Ada yang tak berhenti telefon, padahal hutang tak sampai satu ratus ringgit. Ada yang mengugut, bahasa kasar macam Ah Long, padahal baru seminggu terlewat bayar. Malahan ada yang datang ke rumah penghutang, datang dengan geng, ugut nak sita rumah, ugut nak rantai pintu rumah, ugut nak guna kekerasan. Pemuda nak beri amaran kepada tukang kutip hutang dan pelanggan mereka, nak kutip hutang tu kutip lah, tapi jangan sampai biadap, jangan sampai ada yang tertiarap.

 

77)         Berbalik pada akar masalah ini, antara sebab hutang anak muda yang tinggi, adalah tahap kefahaman kewangan yang rendah. Ini lebih serius bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka lebih cenderung memilih pinjaman yang mana ansuran bulanan atau mingguan nampak rendah, tapi bila dikumpulkan setahun, kadar peratus tahunannya jauh lebih tinggi berbanding pinjaman ansuran lain.

 

78)         Nak gubal undang-undang hutang pengguna memang makan masa. Undang-undang bankrap yang Pemuda dah lama minta dipinda itu pun belum dizahirkan. Tapi buat sementara waktu, mereka ini perlu dilindungi. Pemuda mencadangkan kerajaan agar mewajibkan semua pemberi hutang menyatakan secara jelas jumlah sebenar kadar bunga mereka.

 

79)         Hal sebegini nampak kecil, tapi besar kesannya. Tambahan pula apabila GST akan dilaksanakan pada tahun 2015. Namun tatkala ramai yang risau, ada pula pihak yang cuba mengambil kesempatan. Pemuda juga gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan pemantauan yang menyeluruh dan berkesan. Jangan kerana peniaga yang mengambil kesempatan mengaut untung beralasankan GST dan pegawai tak kuat kuasa – kita pula yang kalah pilihan raya.

 

80)         Kita juga tahu ramai orang muda yang muflis kerana gagal bayar hutang kenderaan. Hutang pinjaman kenderaan adalah yang kedua tertinggi, setinggi 18% selepas hutang beli hartanah. Ramai anak muda bawah 35 tahun jadi muflis, mana tidaknya, nak beli kereta kena bayar 36 kali gaji bulanan. Di negara maju hanya 12 kali ganda.

 

81)         Sudah terang lagikan bersuluh, kita perlukan satu inisiatif untuk membantu anak muda membeli kenderaan, meringankan beban hutang dan harap-harap mereka dijauhi daripada sumpahan muflis. Mengambil kira perkara ini, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan Skim Kenderaan PertamaKu di mana anak muda yang berpendapatan kurang RM4000 sebulan boleh beli kenderaan pertama mereka tanpa membayar cukai atau duti eksais. Ini akan mengurangkan harga kenderaan khusus untuk anak muda yang membeli buat kali pertama sahaja. Kenderaan-kenderaan yang dibenar beli biar lah yang berharga sederhana, yang dipasang dalam negara.

 

82)         Sebelum ada yang kata macam pernah dengar idea ini, bukan ini idea dari pihak lawan? Saya nak jelaskan ini bukan seperti pihak lawan yang telah mencadangkan satu dasar populis iaitu potongan cukai untuk semua pembeli kenderaan yang boleh menambah hutang kerajaan, meningkatkan kesesakan jalan raya, merosakkan alam sekitar dan memberi diskaun kepada orang kaya. Cadangan Pemuda bersasar kepada golongan yang memerlukannya iaitu anak muda sahaja – dan tidak melibatkan semua pembeli kenderaan.

 

83)         Namun di kala kita bercerita tentang kehendak belia, jangan dilupakan belia-belia luar bandar.  Kita kena ingat, suka tak suka, kekuatan UMNO hari ini masih datang dari luar bandar. Dan kemenangan kita hari ini datang dari sokongan belia luar bandar. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengupayakan anak muda luar bandar. Biar mereka ini lebih berkualiti, lebih berkeupayaan, lebih mudah dipasarkan.

 

84)         Y.A.B. Presiden telah umumkan dalam Belanjawan 2015 bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditransformasikan. Pemuda cadangkan transformasi tersebut memberi fokus kepada belia luar bandar, diberi keutamaan untuk mengikut PLKN versi baharu di mana mereka bukan hanya diterap semangat patriotisme tetapi juga diberi kemahiran. Biar mereka menamatkan program ini dengan satu pentauliahan kemahiran – moga mudah mereka mendapat kerja di pasaran.

 

85)         Pada masa yang sama, Pemuda menyokong segala usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kalangan belia luar bandar. Program-program seperti Rural Business Challenge di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani harus kita sokong. Pemuda bercadang supaya lebih banyak lagi peluang ekonomi diberi kepada anak muda luar bandar, agar mereka tak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.

 

86)         Bagi merekayasa ekonomi anak muda luar bandar Pemuda cadangkan agar Revolusi Ekonomi Anak Muda Luar Bandar dilancarkan. Gunakanlah 120 ribu hektar tanah terbiar di negara ini, panggil anak-anak muda luar bandar untuk mengusahakannya, ini akan mencetus revolusi ekonomi ke arah menambah pendapatan masyarakat muda luar bandar.

 

87)         Ini urus janji kita yang baharu, prakarsa yang bakal mencorak perjuangan kita di alaf baru. Kalau orang muda dekat dengan kita, kepentingan mereka kita jadikan tonggak perkhidmatan, hati mereka kita tawan, nescaya pilihan raya akan datang kita menang lagi!

 

Sidang perwakilan sekalian,

 

88)         Tak ke mana seluang melaut, akhirnya balik ke tepi jua; tak ke mana Melayu merantau, ke tanah asal pulanglah mereka. Kita ini parti Melayu –walau ditala, ditabuh, diterajang bagaimana sekalipun – begitulah kita. Kalau asalnya benih yang baik, dicampak ke laut jadi pulau. Kalau asalnya berdarah pahlawan, dihumban ke mana tetap melawan!

 

89)         Kalau dulu Melayucorot kelas bawahan, parti inilah yang mengangkat orang Melayu jadi usahawan, saintis dan pakar perubatan. Kalau dulu kita buta huruf, miskin ilmu, bangsa yang tiada visi mahupun misi, parti inilah yang menjadikan kita profesor, pensyarah dan pakar ekonomi. Kalau dulu ada yang kata Melayu itu koman, parti inilah yang mengangkat Melayu ke depan – dari Melayu macai jadi Melayu bijak pandai!

 

Anak watan
Jangan malu jadi orang berbangsa
Jangan silu mempertahankan hak kita
Jangan dipersia tradisi yang mulia
Jangan kau gadai harga diri
Jangan dinafi apa yang hakiki
Jangan berbohong dengan diri
Jangan pohon maaf, pohon kebenaran dari sesiapa
Kerana walau kita mati-matian berjuang demi bangsa
Kita tak pernah berjuang atas sengsara orang lain!
Maqasid perjuangan kita bukan untuk Melayu semata

 

Kita berjuang untuk semua anak Malaysia!

 

90)       Jadi anak bangsa, lekas kau bangun dari lena. Akarkan legasi dalam hati, cekalkan perjuangan di sanubari, perjuangan untuk selamanya membela kedudukan bangsa, memacu negara ke puncak dunia, mendokong nusantarahingga ke akhir masa! Demi parti kita saudara-saudara, kau apikan lah obor yang menyala-nyala, tiupkan lah sangkakala sekuat rasa, luruskan barisan, rapatkan jurang antara mu para pahlawan! Yakinlah ini yang kamiluntuk bangsa, untuk anak-anak kita, untuk parasarjana yang bakal mewaris negara!

 

Hidup mati kami untuk agama!
Hidup mati kami untuk bangsa!
Hidup mati kami untuk keramat parti tercinta!

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!

Melayu memang bijak. Namun, begitu malang sekali apabila ada Melayu yang bijak menipu, tanpa perasaan segan silu, tak kira apa yang jadi haru biru. Tanpa perasaan keinsafan, rakyat ditipu oleh individu ini – kononnya Rakyat Hakim Negara, walhal, segala tindakan, segala strategi, segala langkah – semuanya adalah bermotifkan kepentingan peribadi. Dah lebih sedekad si chameleon ini berdrama. Racun arsenik lah, disuntik dengan virus HIV lah, Putrajaya milik mereka pada 16 September 2008 lah, janji nak bersara jadi profesor lah; dan yang masih segar di ingatan kita – the Kajang Move yang membawa kepada krisis kepimpinan di negeri Selangor.

 

Apa yang jelas, si dia yang menggangap dirinya Anugerah Tuhan ini tidak pernah teragak-agak untuk menggunakan apa jua yang terdaya, demi nafsu besar menjadi Perdana Menteri. Tidak cukup di Malaysia, cerita buruk negara kita dijaja ke merata dunia – cerita yang tak masuk akal, cerita yang ditokok tambah, cerita yang dijual tanpa mengira kesan, baik buruknya kepada rakyat sendiri. Ini semua borak seorang penderhaka, bukan pemimpin kepada negara.

 

Pembangkang ini saudara sekalian, bagai ayam si tombong, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Terbaru kita menyaksikan bagaimana ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekali lagi menghasut rakyat terutama anak-anak muda kononnya dia dizalimi dalam kes mahkamahnya. Ini adalah sesuatu yang amat ironikerana dalam dia memburukkan institusi kehakiman, dia masih lagi menggunakan sistem mahkamah yang sama untuk menutup mulut para pengkritik politiknya. Saya tahu sebab apa, sebab saya juga ada disaman oleh Anwar. Selain itu banyak juga kes yang kita lihat memihak kepada si `Ketum’ tersebut apabila dia menang saman ke atas beberapa individu dan entiti surat khabar.

 

Jika benar mahkamah tidak adil atau mengikut telunjuk kerajaan, mengapakah Anwar masih lagi menggunakan saluran perundangan negara yang sama, bahkan diam seribu bahasa apabila setiap kali keputusan berpihak kepadanya atau pembangkang. Sudah-sudahlah tu, kes mahkamah terbaharu ini tiada kena mengena dengan kerajaan atau sebarang bentuk kezaliman kepada Anwar Ibrahim. Ia adalah ‘clear-cut case’  di antara Anwar dan si pengadu. Perbicaraan adalah tentang Ketum, bukan kerajaan Malaysia dan biarlah mahkamah yang menentukannya. Jangan racuni fikiran rakyat dengan sentimen kononnya kerajaan zalim dan sebagainya. Ini adalah perbicaraan anda, buatlah rayuan mengikut lunas undang-undang dan jangan heret rakyat dalam masalah peribadi.

 

 

Sidang perwakilan sekelian,

 

 

Kita anak muda Melayu yang tidak mudah diperlekeh, kita anak muda Melayu yang bijak memilih. Kita anak muda Melayu yang bangun mempertahankan martabat negara, kita anak muda Melayu yang akan menentang pengkhianat negara. Tidak akan kita sesekali benarkan kesucian agama diperlekeh, bangsa kita diherdik, perjuangan kita dikotak-katik. Jangan kata kami tak sedia, jangan ingat kami leka. Hidup mati kami untuk agama, hidup mati kami untuk bangsa Melayu. Hidup mati kami untuk parti keramat tercinta.

 

 

 

 

HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.