Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO, Dato’ Mas Ermieyati Samsuddin

ASPIRASI WANITA MUDA

 

 



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalammu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Y.Bhg. Puan Pengerusi Tetap

Saudari Azlieza Azizan,

 

 

Y.Bhg. Puan Timbalan Pengerusi Tetap

Saudari Nurul Huda Nordin Ahmad,

 

 

YAB/YB Wakil Majlis Tertinggi UMNO

Y.B Tan Sri Annuar bin Hj Musa,

 

Y.B Datuk Seri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman,

 

YB Dr. Mohd Puad bin Zarkashi,

 

 

Y.Bhg. Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, 

Saudari Zahida Zarik Khan,

 

 

Y.Bhg. Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Sausari Fahariyah Md Nordin,

 

 

Y.Bhg. Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Saudari Haryaty Hamdzah,

 

 

YB/YBhg. Barisan Exco dan Ketua Pergerakan

 

Puteri UMNO Negeri-Negeri

 

Para Perwakilan, Pemerhati  dan rakan-rakan media yang dikasihi

,

Turut dialu-alukan bekas-bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,

Seterusnya saudari-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan sekalian

.

  1. Terima kasih diucapkan kepada semua perwakilan di atas semangat, komitmen dan dedikasi untuk memastikan Puteri terus kekal utuh, disegani lawan dan disenangi kawan.

Melangkah itu mudah namun,

Mencari arah itu yang terkadang payah,

Mencari jalan itu mudah namun,

Memahami destinasi itu yang susah,

Menyusuri susur itu mudah namun,

Menuju noktah itu pasti mendatangkan lelah

.

 

PUTERI

 

P – Penyambut tetamu – layak jadi penyambut tetamu sahaja

U – Usang – sudah usang, lemah tiada wadah, tiada hala tuju perjuangan

T – Takut – tiada keberanian untuk bertindak

E – Ego – berlagak, bodoh sombong

R – Remeh – suara kita diremehkan, dianggap sudah tidak relevan

I – Ikut – sekadar jadi pengikut

Itulah label yang diberikan kepada PUTERI yang saya dengar. Sebagai ketua sudah pasti terasa sakitnya. Tetapi, biarlah, pada saya semua itu harus diterima secara positif. Kita tidak harus lemah dengan pandangan sebegitu, sebaliknya kita mesti pandang ke hadapan. Yang saya mahu kita semua lebih positif selepas ini.

P – Pejuang

U – Unik

T – Tekad

E – Elit

R – Realistik

I – Intelek

 

Rakan-rakan seperjuangan,

Saya mahu selepas ini kita dikenali dengan label itu. Dalam kelembutan, Puteri ada gaya, kematangan dan ketegasan apabila bertindak. Dalam kecomelan kita, kemanjaan kita, ada keberanian sebagai pembuat keputusan. Walau kita muda, dianggap masih baru dalam UMNO, kita wanita muda yang intelek. Itulah Puteri UMNO selepas ini. Imej, fizikal, minda, buah fikiran kita dihormati, disegani oleh kawan dan lawan.

  1. Alhamdulillah, saya bersyukur, Puteri UMNO masih di sini, tetap teguh berdiri meneruskan perjuangan, mendukung dan mempertahankan parti keramat ini. Puteri UMNO masih relevan. Semangat perjuangan wanita muda dalam Puteri tidak pernah luntur. Walau dilabel dengan pelbagai tanggapan negatif, kita tidak mahu mudah melatah. Kerja untuk parti mesti diteruskan.
  2. Hakikatnya semangat juang Puteri tidak pernah mati. Kita tahu peranan kita sebagai platform untuk orang muda aktif berpolitik. Generasi baru akan muncul dalam kalangan orang-orang Melayu. Mereka ini mempunyai pelbagai tuntutan. Maka kita sebagai kumpulan yang mewakili merekaharus memahami apa orang muda mahu. Kita harus bersedia menangani cabaran semasa dan menjuarai isu-isu melibatkan orang muda.
  3. Tetapi terlebih dahulu, kita harus selesaikan masalah dalaman yang ada supaya tidak menggangu kerja parti. Kalau ada yang masih berkecil hati kerana tewas pada pemilihan lalu. Lupakanlah semua itu. Kerana tanggungjawab kita adalah kepada parti dan orang Melayu.Ini harus jadi keutamaan kita.
  4. Kita harus melihat ke hadapan. Gerak kerja kita untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang mesti digerakkan. Kita perlu beri perhatian kepada permasalahan orang muda untuk diketengahkan. Ini tanggungjawab kita. Puteri perlu aktif mendampingi orang muda. Jika tidak dilaksanakan ia kerugian kepada parti kerana mereka adalah pengundi untuk PRU akan datang. Jentera Puteri mesti digerakkan lebih aktif dan tersusun dari sekarang.

 

Rakan-rakan yang dihormati,

  1. Dan jangan pula mengharapkan ganjaran daripada usaha kita itu. Jangan juga kita bekerja hanya apabila ada liputan media atau apabila ada pemimpin atasan yang memerhati. Sebaliknya, mari, kita turun padang, dampingi orang muda dengan ikhlas demi kelangsungan parti dan orang Melayu.
  2. Puteri UMNO ada suara. Wanita muda Melayu ada suara. Kita tarik perhatian pihak berkaitan terhadap masalah, isu dan keperluan wanita yang perlu diselesaikan. Kita tingkatkan kesedaran dan keyakinanMelayu mudatentang kedudukan mereka. Yang mereka ada tempat sebagai pembuat keputusan. Kita kuatkan jaringan dalam kalangan pertubuhan wanita bagi memperkukuhkan lagi taraf dan kedudukan wanita dalam bidang sosio ekonomi.
  3. Saya yakin jika bergerak bersama-sama kita boleh laksanakan semua itu. Kita boleh dapatkan undi orang muda. Saya yakin kita boleh. Marilah kita laksanakan amanah ini.

 

 

Puteri-puteri solehah bakal penghuni jannatul firdaus, Dalam keagungan perjuangan kalian demi agama dan bangsa, contohilah kehebatan 9 ‘Siti’ srikandi Islam yang boleh dijadikan ikutan terbaik.

 

Siapakah mereka?

1) Siti Khadijah- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yang setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik. Pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah.

2) Siti Fatimah- Anak Rasulullah yang tinggi budi pekertinya. Menjadi pendorong dan motivasi ketika baginda menerima tekanan kaum Quraisy Mekah. Menjadi isteri solehah dengan memberi khidmat kepada suaminya Saidina Ali menyampaikan dakwah dan membuat persiapan untuk memasuki medan peperangan.

3) Siti Aishah- membantu baginda Rasul dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat termasuklah kaum wanita hari ini sekali gus menaikkan martabat wanita yang pada awalnya dinilai sebagai golongan yang rendah dari sudut kaca mata masyarakat Arab Jahiliah ketika itu.

4) Siti Hajar- Isteri Nabi Ibrahim yang patuh kepada suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan.

5) Siti Mariam- Wanita suci yang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah s.w.t untuk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah- Isteri Firaun yang tinggi imannya dan tidak gentar dengan ujian yang dihadapinya daripada Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah- Wanita mulia yang menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti’ah- Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami.

9 ) Siti Zubaidah- Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan bagi kegunaan orang ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

Saya percaya ramai yang ada di dalam dewan ini bernama Siti. Mudah-mudahan kamu juga mempunyai semangat dan aspirasi seperti sembilan Siti yang saya nyatakan itu. Diharapkan Siti-siti yang ada di dalam dewan ini dapat mewarisi legasi perjuangan wanita zaman Rasulullah itu, insya-Allah, yang tidak ada nama Siti pun boleh contohi mereka, jangan risau kitajugadijanjikan syurga.

ALLAH telah berfirman dalam Surah An Nisa, ayat 124;

“Barangsiapa mengerjakan amal- amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.”

 

INSTITUSI RAJA

 

 

Saudari-saudari yang saya hormati sekalian,

  1. Melayu dan institusi raja tidak dapat dipisahkan. Kedaulatan raja-raja Melayu wujud sejak enam abad dan telah membina ketamadunan Melayu yang gemilang. Saya ingin mengambil contoh raja Melayu dahulu iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah, sultan Melaka yang ketujuh. Baginda menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Mansur Shah pada tahun 1477 dan merupakan sultan yang paling mementingkan keamanan di Melaka. Baginda dianggap sebagai sultan yang adil dan warak serta tinggi ilmu agamanya. Prihatin dengan rakyatnya, baginda akan menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda sekitar kota Melaka pada waktu malam untuk mengetahui masalah rakyat. Ini yang kita panggil `action oriented’.
  2. Sejarah Melayu menggambarkan baginda sebagai raja yang bertanggungjawab. Baginda tangani sendiri pelbagai masalah rakyat seperti kejadian rompakan dan kecurian yang banyak berlaku di awal pentadbirannya. Melaka aman dan terkenal sebagai pusat perdagangan antara Timur dan Barat semasa pemerintahan baginda. Baginda juga dihormati kerana adil dan saksama. Sultan seperti inilah yang harus menjadi role model, contoh dan mesti kita hormati serta sanjung tinggi.
  3. Di sini saya juga ingin kongsi satu lagi kisah sejarah Mustafa Kemal Ataturk. Ini contoh bagaimana sistem kesultanan dijatuhkan dan keruntuhan dunia Islam. Mustafa yang digelar sebagai Bapa Pemodenan Turki, telah mencetuskan gerakan turki muda sehingga berjaya menjatuhkan institusi kekhalifahan Uthmaniah sekitar tahun 1923. Tetapi beliau menjadi tali barut ejen laknatullah dalam menghancurkan Islam.
  4.  Ada yang berpendapat Mustafa ini seorang anak luar nikah yang telah diprogramkan oleh Yahudi untuk meruntuhkan Islam. Beliau menghasut rakan-rakannya supaya tidak tertipu dengan pemikiran dunia Islam. Dan akhirnya beliau memansuhkan sistem kesultanan pada tahun 1922. Dengan itu berakhirlah juga sistem khalifah dan Islam sebaliknya Mustafa menggantikan Islam kepada sistem sekular.
  5. Apa yang menjadi kebimbangan saya ialah gerak kerjanya yang seakan-akan sama dengan gerakan pihak-pihak tertentu hari ini iaitu Mustafa telah memaksa al-Quran dicetak dalam bahasa Turki dengan menggunakan tulisan rumi, walhal ulama telah sepakat mengharamkan al-Quran ditulis dalam tulisan selain bahasa Arab.

14.  Begitu juga baru-baru ini, wujud pihak yang mahu al-Quran ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya tanpa satu pun ayat    dibenarkan ditulis dalam tulisan jawi. Mengapa ini berlaku, di masa kesilapan kita, tahukah anda, kematian Mustafa itu amat menyeksakan. Allah itu maha adil, Mustafa terpaksa melalui saat yang paling menakutkan sebelum kematiannya, malah mayatnya juga tidak langsung diterima oleh tuhan di bumi ini, Mustafa terpaksa ditanam dalam di celah-celah batu marmar kerana tanah Allah tidak dibenarkan untuk menerimanya.

Rakan-rakan seperjuanganku,

  1. Ingatkah kita kepada tujuh wasiat raja-raja Melayu yang ditandatangani dan dipersetujui pada 5 Ogos1957. Salah satu daripada wasiat itu ada menyebut “Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini”. Wasiat yang dinyatakan itu sebenarnya sudah cukup membuktikan bahawa institusi raja kita adalah tunjang kepada kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati hari ini.
  2.  Apa yang kita amat kesali sekarang ini, sudah mula ada golongan tertentu yang berani mempersoalkan apa relevannya kewujudan institusi beraja di negara ini. Sudah mula muncul kumpulan oportunis yang mengkritik, mempersenda malah bersikap biadab dengan menghina serta merendah-rendahkan martabat raja-raja Melayu. Dalam media sosial kini ada yang mempersendakan pemerintah dan sultan kerana isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
  3. Isu PATI bukan perkara baharu, tetapi sehingga kini masalah ini gagal diselesaikan. Sehubungan itu Puteri berharap pihak berkuasa lebih tegas dikenakan terhadap bukan sahaja PATI tetapi orang tengah dan majikan. Tiada seorang pun yang terlepas sama ada majikan atau ejen daripada dikenakan tindakan undang-undang jika mereka didapati bersalah.
  4. Situasi politik yang berlaku di Selangor baru-baru ini menuntut kita semua memahami bahawa peranan raja-raja Melayu sangat penting -sebagai penimbang tara dalam mengadili serta menyelesaikan kemelut yang timbul. Begitu sukarnya untuk melantik seorang menteri besar apabila ada pihak yang ingkar dengan perintah sultan.

Puteri-puteri pejuang bangsa,

  1. Saya ingin menarik perhatian kita semua bahawa kemelut itu berlaku kerana orang Melayu yang tidak bersatu. Berpecah dek kerana mengejar kepentingan dan agenda tersendiri. Realitinya, kerana matlamat itu, kita semakin lemah, alpa dan lupa diri sehingga wujud ruang bagi pihak lain mengambil kesempatan. Undang-undang sudah ada tetapi tiada yang betul-betul dihukum atas kesalahan dilakukan. Walhal kita tahu undang-undang terhadap penghinaan kepada raja-raja Melayu termaktub dalam Perlembagaan. Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang antara kandungannya turut mempertahankan hak raja-raja Melayu. Mengapa ini berlaku, adakah kerana kita tidak memahami tentang pemerintahan raja berperlembagaan dan manifestasi rukun negara.
  2. Inilah cabaran besar yang kita hadapi sekarang.Kita mahu anak muda diberi pemahaman yang jelas mengenai peri pentingnya institusi raja-raja Melayu. Mereka harus dididik dari awal mengenai perkara ini. 21. Puteri UMNO mencadangkan agar diwujudkan modul atau kurikulum di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi mengenai pengajian Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dikaji. Perincikan tentang kedudukan dan tanggungjawab raja-raja Melayu terutamanya peranan Yang di-Pertuan Agong yang bukan sekadar menjadi ketua agama Islam.
  3. Program-program berunsurkan patriotisme yang lebih menarik dan menonjol juga harus diperluaskan dalam kalangan generasi muda bagi menjelaskan lagi berhubung fungsi dan peranan institusi raja dalam sistem perlembagaan negara. Manfaatkan kemudahan yang ada di Biro Tata Negara untuk menganjurkan program berbentuk patriotik. Institusi raja mesti kita pertahankan.
  4. Tindakan menghina raja-raja Melayu yang dilakukan menerusi pelbagai saluran termasuk Facebook perlu ditangani. Pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak. Selain mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini, sekatan perlu dikenakan terhadap blog mahupun facebook yang menghina raja dan sultan. Untuk itu Puteri gesa agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikaji semula untuk kenakan hukuman yang lebih berat dan adil.

 

KESUCIAN AGAMA

 



Sidang hadirin dan sidang perwakilan sekalian,

  1. Saya sedih, kecewa dan marah apabila ada pihak yang sudah berani memperlekehkan Islam dan institusi agama. Yang dikesalkan ada orang Melayu sendiri tidak menghormati Islam. Apa pun sebelum kita menghukum atau menyalahkan pihak terbabit. Lebih baik kita lihat aspek agama Islam dan memberi pemahaman kepada generasi muda tentang Islam.
  2. Bagi menarik perhatian golongan muda untuk memahami dan menghayati Islam, kita fokuskan kepada aspek imej dan minda yang lebih ‘segar dan muda’. Kalau kita lihat, generasi muda kini lebih meminati tokoh-tokoh yang muda dan kemas seperti ustaz yang lahir menerusi program Pencetus Ummah PU Hafiz. Beliau tampil dengan memakai kot, ada stail, kata orang muda. Malah ini saya dengar beliau ada ramai peminat. Dalam dewan ini pun saya rasa ramai yang minat PU Hafiz.
  3. Konsep dakwah tidak harus dilihat sebagai ketinggalan zaman. Sesuatu isu berkaitan agama perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas meliputi aspek ekonomi, sains, matematik, sosiologi mahupun psikologi. Kita tidak boleh melihat Islam dari satu perspektifiaitu soal hukum dan halal haram sahaja. Jangan kita bercakap tentang buat ini masuk syurga, buat itu masuk neraka. Makan babi haram. Minum arak haram. Semua itu ramai yang sudah tahu.
  4. Kitasudah moden, maka minda juga harus lebih moden. Alim ulama kita harus bercakap tentang betapa ‘cantiknya’ masuksyurga. Jelaskan bagaimana hendak elak dari masuk neraka. Kita cakap makan babi haram tetapi kenapa babi haram kita tidak jelaskan. Sebab itu saya kata tadi tokoh-tokoh agama kita harus lihat sesuatu itu dalam perspektif yang lebih menyeluruh, merangkumi aspek sains, sosial, teknologi dan psikologi orang muda.
  5. Biar apa yang dicakap itu menunjukkan kita banyak membaca dan ilmu pengetahuan kita tinggi, baharulah kita boleh meyakinkan. Dan dakwah kepada orang muda berjaya. Dalam pada Islam menerima pelbagai serangan dalam dunia tanpa sempadan hari ini, peranan institusi agama terutama jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri penting – untuk bertindak sebagai penampan kepada serangan itu. Pegawai-pegawai di jabatan agama perlu lebih proaktif untuk menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan dengan cepat dan bijak.

Sidang hadirin sekalian,

  1. Puteri kesal apabila ada pemimpin politik beragama Islam yang dianggap cerdik pandai sudah tidak mahu melindungi kesucian agama Islam daripada dipermain dan dipersendakan pihak-pihak tertentu. Mereka ini lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi. Mereka bimbang tidak lagi popular atau hilang sokongan kalau terlalu lantang mempertahankan Islam.
  2. Puak-puak ekstremis agama yang sering mencetuskan keganasan tanpa batasan, liberalisasi agama yang ‘menghalalkan’ budaya seperti LGBT yang secara terang-terangan melanggar akidah umat Islam dan golongan pluralisme agama yang berpendapat semua agama termasuk Islam adalah sama semakin berkembang. Adakah kita hanya mampu melihat semua ini dan membiarkan fahaman berbahaya ini menghancurkan umat Islam.
  3. Kita tahu kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya tunduk kepada sebarang desakan dan tekanan pihak-pihak yang ada agenda dan berniat jahat terhadap Islam. Kita juga percaya, badan yang menjaga kepentingan umat Islam akan terus bertindak tegas memastikan apa juga isu yang menyentuh kesucian agama Islam akan ditangani dengan sebaik-baiknya.
  4. Puteri UMNO menyokong apa juga keputusan dan tindakan yang diambil oleh institusi agama Islam demi memelihara martabat dan kesucian Islam. Kita hargai ketegasan kerajaan yang memutuskan untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia dilakukan bagi menjaga kepentingan agama Islam. Tindakan tersebut adalah bagi mempertahankan ajaran Islam. Keputusan itu akan memberikan kesan kepada peruntukan undang-undang yang sama di negeri-negeri.
  5. Kes ini memperlihatkan agenda pihak tertentu yang mahu memesongkan akidah umat Islam. Oleh itu amat penting bagi kita untuk berwaspada dengan taktik mereka ini. Dan pada masa sama,institusi agama Islam perlu tegas dalam menghadapi gelombang penentangan terhadap Islam dalam bentuk baharu ini. Selain itu, Puteri UMNO sebagai sayap parti yang berjiwa orang muda, melihat dakwah melalui seni muzik turut memberi kesan positif terhadap anak muda kita. Lagu-lagu dakwah dengan konsep baharu menjadi ikutan dan dihayati sebaik mungkin oleh anak muda hari ini. Ini satu perkembangan yang positif.
  6. Kita lihat ramai artis kini tampil lebih cantik dan menarik dengan berhijab. Langkah mereka itu semakin diikuti oleh rakan-rakan artis yang lain. Inilah dakwah yang hadir bukan daripada paksaan sesiapa. Itulah cara yang sebetul-betulnya untuk mengajak orang muda menghayati Islam – secara sukarela bukannya paksaan. Kita mahu Islam dihormati kerana kemuliaan ajarannya bukan dengan cara memaksa ia dihormati.
  7. Mengambil contoh penyanyi dan komposer wanita popular, Yunalis Zarai atau Yuna dengan penampilannya yang menutup aurat dan `hijabster’ telah mempengaruhi remaja. Biarpun dia menyanyikan lagu-lagu pop, tetapi dakwah Yuna juga jelas menerusi personalitinya itu. Secara tidak langsung, dia membawa mesej bahawa bertudung tidak menyekat apa yanghendak dilakukan. Impak daripada kemunculan Yuna itu sendiri telah mendorong ramai lagi penyanyi angkatan baru yang lebih berkeyakinanmuncul bertudung walaupun tidak memperjuangkan irama nasyid seperti lazimnya.

 

SOSIAL

 

 

Para pejuang puteri sekalian,

  1.  Generasi muda amat dekat dengan internet. Mereka membaca blog, Facebook Instagram. Itu rutin mereka setiap hari. Media sosial sudah jadi ‘makanan’ mereka. Malah semasa saya sedang bercakap ini pun, kalau ada peluang mungkin ada yang sedang update status Facebook dan IG mereka.
  2. Tetapi bahayanya media sosial ini juga menyebarkan pelbagai propaganda dan fitnah selain menghasut. Dakyah yang tersebar itu ada kalanya cukup meyakinkan terutamanya apabila disertakan dengan gambar, statistik dan bukti yang dimanipulasi supaya kelihatan sahih.
  3.  Wujud juga apa yang kita panggil fenomena `troll’. Troll dengan niat untuk berjenaka ok, boleh diterima. Tetapi kalau gambar diedit bagi mengaibkan seseorang, ia sangat bahaya. Di satu pihak perbuatan ini mungkin nampak sebagai bahan jenaka tetapi di satu pihak lagi ia boleh mengundang sesuatu yang negatif. Troll menjadi bahaya apabila kenyataan yang dibuat bertujuan menyindir lalu menjadiprovokasi melampau dan boleh membawa kepada fitnah. Golongan yang suka pada troll ini disifatkan sebagai `sakit jiwa’. Malah menurut pakar motivasi, Datuk Dr Mohd. Fadzilah Kamsah, mereka ini sakit dari segi rohani,

Para perwakilan dan sidang hadirin,

  1.  Maklumat yang saya dapat ada pihak tertentu yang merekrut anak-anak Melayu untuk tujuan menyebarkan doktrin liberalisme, sosialisme dan komunisme. Mereka bergerak aktif melalui beberapa program yang bertopengkan demokrasi. Menggunakan tenaga pengajar orang Melayu. Pihak ini telah mempromosikan budaya liberal sehingga ke tahap ingin menghapuskan hak keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan.
  2. Beberapa siri program ini ditumpukan di Lembah Kelang telah menyasarkan anak-anak Melayu lepasan universiti dari seluruh negara. Mereka menggunakan platform program ini untuk menghasut, membasuh dan memprogramkan pemikiran anak-anak Melayu kita menentang kerajaan, menolak perkara termaktub dalam Perlembagaan dan menjadi pelapis kepada ancaman liberal, sosialis dan komunis di negara ini. Maka, pemimpin-pemimpin seperti Karl Marx, Lenin, Leon Trotsky dan kemungkinan Chin Peng diangkat oleh mereka sebagai rujukan politik bukannya bapa-bapa kemerdekaan, pembangunan dan kemajuan yang telah berpenat lelah membina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa hari ini.
  3.  Isu subsidi dan harga minyak naik dimanipulasi, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diwujudkan untuk bantu rakyat juga dikatakan sebagai satu kesilapan. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diberikan untuk bantu pelajar juga dijadikan isu untuk mendakwa kerajaan menindas pelajar. Macam-macam lagi isu dimanipulasi.
  4. Perkembangan ini bukan sahaja mengejutkan tetapi membuktikan sememangnya wujud usaha pihak tertentu dalam memanipulasikan pemikiran anak muda Melayu yang sepatutnya menjadi modal insan dalam menjamin kesinambungan negara yang kita cintai ini. Golongan ini dikatakan sedang mencucuk jarum dalam minda anak muda kita untuk sedikit demi sedikit membuang atau menghakis identiti bangsa mereka. Hak keistimewaan, kuasa politik dan identiti Melayu itu mahu dilihat sebagai satu perkara yang lapuk. Mereka mahu mendoktrinkan anak-anak muda Melayu ini bahawa mentaliti seumpama itu hanya menjejaskan kemajuan negara. Mereka mahu orang Melayu lupakan asal usul mereka.
  5.  Apa yang menyedihkan adalah golongan muda Melayu ini tidak menyedari mereka dimanipulasikan. Mereka hanya seronok melihat retorik politik yang memudaratkan diri sendiri itu. Dilihat mereka agenda jahat tersebut sebagai satu perjuangan kebebasan. Saya berasa kesal dengan tindakan pihak-pihak tersebut. Anak-anak Melayu itu umpama golongan yang hilang punca dalam survival bangsa sendiri. Sangat jelas, mereka telah terjerat dalam permainan tidak bertanggungjawab pihak tersebut. Apakah semua ini bertitik tolak kepada kita sendiri? Apakah kita kurang melaksanakan pendekatan kepada golongan muda sehinggamereka terpaksa menyertai platform seperti ini.

 

 

*Ucapan lain bakal menyusul

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.