Tun Sering Tegur UMNO Kerana Sayangkan Parti – Mukhriz

Kuala Lumpur – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mempertahankan tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering dilihat mengkritik kepimpinan UMNO.

Mukriz berkata ayahnya berbuat demikian kerana sayangkan parti.

“Presiden (Datuk Seri Najib Razak) bukannya jenis yang tidak boleh terima teguran. Saya pun sebelum ini pernah mengatakan teguran dari Tun ialah sebab sayang.

“Saya kenal beliau, saya rapat. Kalau dia tak tegur, maksudnya dia tak sayang. Kalau dia masih tegur dia rasa masih lagi ada sesuatu yang perlu dikongsi sama untuk kebaikkan bersama,” katanya semasa satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Apabila ditanya mengapa Dr Mahathir sering mengkritik kepimpinan UMNO, Mukhriz berkata “ini bukan sesuatu yang boleh ditinggal begitu sahaja.”

“Dia sudah pernah menjadi presiden parti untuk 22 tahun. Ini bukan sesuatu yang boleh ditinggal begitu sahaja. Sebab dia sudah sayang lama.

“Yang dia nak adalah yang terbaik untuk kita. Saya rasa tegurannya positif. Yang penting apa yang kita akan dilakukan apabila ditegur begitu.

“Saya rasa teguran itu masih bersifat berhemah… tidaklah sampai tahap mengata orang. Terpulang kepada kita, adakah kita akan bertindak?” tanyanya.

Di dalam tulisan terbaru Dr Mahathir di dalam blognya, beliau menggalakkan perwakilan UMNO untuk menegur pemimpin.

“Tanpa teguran, pemimpin akan percaya segala yang dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan olehnya salah dan tidak baik.

“Saya dinasihat supaya tidak membuat teguran terbuka. Sebenarnya sudah saya tegur secara tertutup berkali-kali, terutama berkenaan masalah Bumiputera dan UMNO. Tetapi tidak berkesan. Teguran secara terbuka terpaksalah dibuat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.