Perhimpunan Agung Tiga Sayap Umno Berlangsung Hari Ini

KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga sayap Umno – Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri – mengadakan perhimpunan agung tahunan masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Rabu.

Ketiga-tiga sayap parti itu memulakan agenda perhimpunan mereka dengan ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing sebelum disusuli usul dan perbahasan yang menyentuh pelbagai isu semasa termasuk isu keselamatan, keamanan, kenaikan kos sara hidup, pendidikan dan perpaduan negara.

Menurut jadual atur cara yang dikeluarkan Bahagian Media Umno, Perhimpunan Agung Wanita berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pemuda (Dewan Tun Hussein Onn) dan Puteri Umno diadakan di Dewan Merdeka.

Sejumlah 993 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung wanita yang akan berbahas mengenai isu keselamatan, keamanan dan perpaduan negara manakala 992 perwakilan Pemuda akan membahaskan isu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki berpakaian wanita, isu perumahan di kalangan belia, serta transformasi parti.

Perhimpunan tahunan Puteri Umno dengan 991 perwakilan akan memfokuskan isu pengangguran di kalangan generasi muda sebagai usul utama. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.