Pak Samad Buta Fakta – Prof Dato’ Dr Ir Badhrulhisham

Kuala Lumpur – Pak Samad mungkin seorang yang naif atau buta dengan fakta sehingga menuduh ISMA bergerak di bawah pengaruh ‘sesuatu kuasa’ berkenaan isu ancaman terhadap Islam dan Melayu.

“Sekiranya kenyataan itu keluar daripada seorang ahli politik yang biasa menggunakan alasan demikian (menuduh sesebuah parti politik berlindung di sebalik sesuatu perkara atau keadaan), sudah tentu ia boleh difahami kerana mereka sering menggunakan alasan untuk menidakkan yang benar,” kata Ketua Unit Kajian Dasar ISMA, Prof Dato’ Dr Ir Badhrulhisham Abdul Aziz.

“Pak Samad mungkin naif atau buta, bahawa dia dan beberapa pemimpin Melayu mungkin dimanipulasi oleh sesetengah parti atas nama kemanusiaan dan hak kebangsaan.

“Bukti kukuh, perkara yang berlaku dan petisyen mencabar Islam dan Melayu sudah ada sejak beberapa tahun lalu dalam negara ini dan ia jelas adalah ancaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dikeluarkan di laman www.ismaweb.net.

Katanya, ISMA sentiasa konsisten dalam usaha untuk menegakkan kedaulatan Islam dan Melayu dan tidak pernah goyah daripada pendirian ini.

“Walaupun dalam kes perlembagaan, ISMA menegakkan hak orang Melayu dan Islam yang dicabar setiap hari oleh mereka yang tamak dan mereka yang menganggap golongan yang mempertahankan Melayu dan Islam sebagai ancaman kepada keharmonian dan perpaduan negara.

“Sebenarnya, mereka yang tamak inilah  sebenarnya pelampau dan merupakan ancaman kepada negara kita,” katanya.

Tambanya lagi, Isma mahu pengisytiharan perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan dilaksanakan sepenuhnya seperti yang disebut oleh bekas Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqulrahman Ishak and lain-lain melawan Fatimah Sihi, yang menyebut:

“…  Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk  berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”

Isma mahu mereka yang mengakui sebagai rakyat Malaysia yang setia supaya mengiktiraf dan menghormati hak istimewa status orang Melayu, Islam dan Raja-raja dalam perlembagaan.

“Isma tidak pernah mempersoalkan hak orang bukan Islam, bukan Melayu untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing dalam negara ini,” katanya.

Dr Ir Badhrulhisham berkata individu perlu berhati-hati dalam mempertahankan hak seseorang.

“Apakah kita mahu mengulangi nasib beberapa negara lain termasuk negara kita yang kehilangan hak dan kedaulatan dengan sikap ‘tidak apa’ dan cuai?” soalnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.