Kerajaan Digesa Laksana Dasar Rumah Mampu Milik

Kuala Lumpur – Kerajaan digesa supaya lebih tegas dalam melaksanakan dasar perumahan mampu milik kerana perkara itu dilihat mampu memberi peluang kepada golongan bumiputera untuk memiliki rumah.

Itu pandangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii sebagai reaksi terhadap ucapan timbalan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Perasmian Mesyuarat sayap UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  pada Selasa.

Beliau berkata, harga rumah yang sepatutnya pada kadar RM70,000 hingga130,000 yang diucapkan oleh timbalan presiden UMNO itu adalah harga mampu untuk majoriti rakyat di negara ini.

“Kita mahu kerajaan melaksanakan dasar ini agar jurang pemilikan hartanah dapat kita kurangkan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh perkara lain, Razlan berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengembalikan dasar ekonomi baharu kepada seluruh rakyat negara ini kerana ia ternyata mampu memberi faedah kepada semua.

Katanya, langkah tersebut akan menyentuh tentang ekonomi orang Bumiputera yang jauh berbeza dengan kaum lain.

“Kerajaan juga harus menilai semula model ekonomi negara dan laksanakan pendekatan agenda ekonomi Bumiputera” ujarnya.

Muhyiddin juga menyentuh mengenai isu perumahan berkata, menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah.

Ini bermakna, harga rumah mampu milik bagi kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah adalah dengan harga RM70,000, kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000.

“Ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja.

“Pandangan ini ada juga kebenarannya. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” kata Muhyiddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.