Anggota Kanan Geng Mamak Ditembak Mati

Kuala Lumpur – Puluhan tahun diburu kerana terlibat dalam pelbagai kegia­tan jenayah sejak 80-an, seorang anggota kanan Geng Mamak akhirnya maut selepas berbalas tembakan dengan polis di tempat letak kenderaan di sebuah tapak pasar malam berdekatan Lorong Sarawak, Taman Melawati, di sini hari ini.

Suspek, Anuar Osman, 59, bera­sal dari Gerik, Perak, bukan sahaja memiliki 24 rekod jenayah malah lapan daripadanya masih dalam senarai dikehendaki berhubung kegiatan jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan.

Dalam insiden berbalas tembak itu, seorang pegawai polis turut tercedera akibat terkena tembakan di bahagian tangan kiri dan lengan sebelah kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdu­llah berkata, pihaknya melalui Ops Jetta yang dikendalikan oleh Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4) serta dibantu Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Selangor telah mengekori suspek sejak 22 Oktober lalu sebelum terserempak dengan kereta Volkswagen Jetta dipandu suspek di lokasi berkenaan, kira-kira pukul 1.45 petang.

“Dua buah kenderaan polis cuba menghampiri dan mengepung ke­reta itu namun suspek bertindak melanggar kedua-dua kenderaan polis di sebelah kanan dan kiri untuk meloloskan diri.

“Pada masa sama sebuah lagi kenderaan polis tiba dan berhenti di hadapan kereta suspek. Seorang pegawai polis telah mengarahkan suspek keluar tetapi lelaki itu enggan sebaliknya bertindak melepaskan dua das tembakan.

“Pasukan polis kemudian terpaksa membalasnya sebelum suspek ditemui mati setelah terkena beberapa das tembakan manakala rakannya parah setelah turut ter­kena tembakan di bahagian pinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Adnan, rakan suspek yang dikenal pasti sebagai Noorzyzy Abdul Rahman, 32, dan berasal dari Gombak, dikejarkan ke Hospital Ampang di sini, untuk rawatan lanjut.

“Hasil kejayaan itu, kita percaya dapat menyelesaikan banyak kes jenayah di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah Klang. Kita juga sedang menyemak maklumat lain memandangkan penglibatan suspek dalam kegiatan jenayah sudah terlalu lama,” ujarnya.

Jelas Mohd. Adnan, pihaknya turut merampas sepucuk pistol Smith & Wesson, beberapa bilah parang dan kapak serta lebih 16 keping nombor pendaftaran kereta yang dipercayai digunakan bagi tujuan jenayah.

“Mayat suspek akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Ke­seksaan kerana cubaan membu­nuh,” jelas­nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.