Orang Ramai Sanggup Beratur Untuk Beli Roti Pau Pakcik Syafrudin

PAU dijual Syafrudin Abd Halim, 59, bukan saja murah dan bersaiz besar, malah enak.

Kelebihan itu menarik ramai pelanggan sehinggakan mereka sanggup beratur panjang walaupun ketika hujan semata-mata untuk membeli pau berkenaan.

Malah, kira-kira 500 pau pelbagai jenis dijual Syafrudin menggunakan motosikal beroda tiga habis terjual dalam tempoh kurang satu jam setengah.

Katanya, dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang menyerbunya sebaik tiba di Medan Selera Subang Jaya, Puchong Perdana, Selangor untuk berniaga.

“Dalam sibuk melayan pelanggan, ada juga yang menelefon bertanyakan lokasi saya berniaga,” katanya.

Syafrudin berniaga pau sejak 15 tahun lalu dan purata pau terjual setiap hari ketika ini ialah 700 berbanding 400 sebelum ia tular.

Menurutnya, keistimewaan pau yang dijual ialah dia menghasilkannya sendiri termasuk enam jenis inti.

“Tepungnya pula saya uli dengan tangan kerana pau dihasilkan lebih gebu serta lembut berbanding jika menggunakan mesin.

“Pau dijual ialah pau daging, ayam bersama telur puyuh, ayam, kelapa, kaya, coklat serta kacang.

“Rupa pau saya tidak cantik kerana dibuat menggunakan tangan tetapi pelanggan mengatakan tidak cukup jika makan sebiji,” katanya.

Menurut Syafrudin, dia kerap diajukan pertanyaan mengenai keuntungan kerana harga pau dijual murah dan tidak sepadan dengan saiz.

“Bagi saya, keuntungan adalah apabila semua pau terjual, bukan diukur berdasarkan saiz dan harganya yang mahal.

“Saya gembira apabila pelanggan berselera dan kenyang setiap kali menikmati pau ini.

“Saya juga tidak berkira dengan pelanggan dan ada kalanya memberikan potongan harga terutama kepada pelajar,” katanya.

Menurut Syafrudin, dia masih mengekalkan harga pau sejak enam tahun lalu meskipun ada kenaikan harga bahan mentah.

“Bagi pau kaya, kacang, coklat dan kelapa, ia dijual pada harga RM1.20 manakala daging serta ayam bersama telur puyuh berharga RM2,” katanya.

Pelanggan, Normah Bahari, 60, berkata, dia akhirnya dapat membeli pau tular itu selepas datang kali ketiga.

“Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer dari Cheras ke sini kerana mahu merasai keenakannya walaupun terpaksa beratur panjang,” katanya.

Lain-lain berita menarik;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.