Zahid Mahu Galas Jawatan Presiden UMNO Sehingga Tamat Penggal Pemilihan

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu beliau tidak akan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO sebagaimana yang dicadangkan sayap Pemuda parti itu. 

Malah tegas Ahmad Zahid, beliau akan terus menggalas mandat yang diberikan sehingga tamat penggal pemilihan parti itu. 

“Saya tidak menganggap ianya sebagai satu ‘option’. Mengalah bukan satu ‘option’ bagi saya. Dan saya mengambil keputusan untuk terus menggalas tugas sebagai Presiden UMNO, bersama-sama timbalan presiden dan naib presiden serta kepimpinan.

“Dan mandat yang akan saya lakukan biarlah sehingga tamat penggal pemilihan kerana pemilihan jawatan-jawatan dalam parti ditentukan perhimpuan agung. 

“Biar perhimpunan agung yang menentukan kedudukan jawatan seseorang. Bukan disebabkan cadangan atau lain-lain pandangan yang tidak mengikut perlembagaan dan peraturan parti,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu sebentar tadi.

Turut sama hadir dalam sidang media adalah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahmad Zahid hari ini hadir ke Kuala Terengganu bersama Mohamad dan kepimpinan tertinggi parti untuk menghadiri perjumpaan tertutup bersama kepimpinan akar umbi Terengganu. 

Pemuda UMNO semalam sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini adalah bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

Jelas Asyraf, cadangan ini juga tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

Ahmad Zahid ketika ini berdepan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.