Zahid Beri Bayangan Tak Akan Bercuti Jawatan Presiden UMNO

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan beliau tidak akan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO sebagaimana yang dicadangkan sayap Pemuda parti itu. 

Menerusi Twitter, Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih di atas cadangan sayap tersebut.

Beliau dalam pada itu menyeru ahli UMNO agar terus bersama-sama berjuang menentang musuh parti.

“Terima kasih di atas pandangan PPUM (Pergerakan Pemuda UMNO) @PPUMOnline.

“Saya raikan kepelbagaian pendapat. Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan UMNO,” tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #umnobangkit #prayforumno.

Pemuda UMNO semalam sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini adalah bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

Jelas Asyraf, cadangan ini juga tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

Ahmad Zahid ketika ini berdepan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.