Soal Nasib MCA Biar Ahli Tentukan, Bukan Pemimpin – We Ka Siong

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada MCA akan terus berada dalam Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya perlu diserahkan kepada perwakilan parti yang akan bersidang 2 Disember ini.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata nasib MCA perlu ditentukan ahlinya sendiri bukannya terletak kepada kepemimpinan parti semata-mata.

“Saya menyerahkan kepada ahli parti untuk menentukan masa depan parti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas mengenai pengumuman terbuka Ketua MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu yang menyatakan akan membawa MCA keluar daripada BN jika memenangi jawatan Presiden parti itu.

Pemilihan MCA akan diadakan pada 4 November ini dikatakan akan menjadi penentu hala tuju parti itu dalam BN.

Perebutan jawatan presiden MCA pada pemilihan parti itu menyaksikan persaingan sengit membabitkan pertembungan tiga penjuru.

Selain Ping Sieu, Ka Siong turut mencalonkan diri bersama Ketua MCA Bahagian Beruas, Ngoo Teck Kiong.

Ka Siong berkata, apa yang dinyatakan Ping Sieu itu adalah strateginya untuk meraih sokongan.

Katanya, beliau menghormati pendirian itu tetapi percaya nasib parti perlu ditentukan ahlinya sendiri.

Ditanya perbincangan beliau dengan Khairy Jamaluddin mengenai nasib MCA, UMNO dan kedudukan parti dalam BN, katanya perbincangan itu biasa bagi mana-mana ahli parti.

Katanya, beliau bukannya Presiden MCA begitu juga Khairy bukannya Presiden UMNO dan perbincangan itu tidak boleh dilihat sebagai perbincangan dua parti.

“Jika saya Presiden MCA dan KJ (Khairy) Presiden UMNO situasinya berbeza kerana perbincangan itu menjurus kepada masa depan parti. Situasi kami berbeza kerana ia hanya pendapat peribadi,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.