Pertama Di Dunia, Bulan Buatan Manusia Bakal Dilancar

INDUSTRI angkasa China kini giat membuat persediaan untuk melancarkan bulan buatan pertama di dunia untuk membantu pencahayaan bandar pada waktu malam.

Ketua saintisnya, Wu Chunfeng berkata bulan buatan itu akan berada di orbit bagi membantu pencahayaan di bandar Chengdu, ibu kota Sichuan.

Ia bakal dilancarkan di Pusat Pelancaran Satelit Xichang dekat Sichuan pada tahun 2020.

Katanya menerusi temu bual eksklusif bersama China Daily pada Khamis, bulan buatan itu mempunyai lapisan reflektif yang mampu memantulkan cahaya matahari kembali ke bumi sama seperti fungsi bulan semulajadi.

“Ia bukanlah untuk menggantikan bulan sepenuhnya tetapi direka untuk melengkapkan pencahayaan bulan pada waktu malam.

“Bulan buatan ini dijangka mampu memberi pencahayaan lapan kali lebih terang berbanding bulan semulajadi,” katanya.

Jelas Wu, kadar pencahayaan itu adalah kerana bulan buatan ini berada pada jarak 500km di orbit, jauh lebih dekat berbanding jarak bulan semulajadi iaitu 380,000 km dari bumi.

Dengan cara ini, ia mampu menggantikan penggunaan lampu jalan terutamanya di kawasan bandar lantas menjimatkan penggunaan tenaga.

“Kami menjangkakan Chengdu mampu jimat 1.2 billion Yuan (RM725 juta) setahun jika bulan buatan ini menerangi 50 kilometer persegi bandar berkenaan,” tambahnya.

Pembangunan teknologi ini jika berjaya akan diteruskan dengan pelancaran tiga lagi bulan buatan pada 2022.

Namun, ia masih memerlukan kajian terperinci memandangkan kesan psikologi terhadap manusia serta hidupan lain juga dalam pemerhatian.

Sebelum ini, Rusia pernah membuat percubaan hampir sama apabila menghantar cermin angkasa berdiameter 25 meter untuk pencahayaan di bandarnya.

Akan tetapi pelancarannya gagal dan projek yang dikenali sebagai Banner itu dibatalkan kerana masalah peruntukan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.