Pemuda UMNO Lesu, Terikut Rentak Kerajaan PH

KUALA LUMPUR – Tindakan Pemuda UMNO me­nyarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berehat bermaksud sayap tersebut telah akur dengan tindakan zalim kerajaan.

Bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sepatutnya Pemuda UMNO berani ke hadapan dan lawan, ini kerana mereka sebagai pembangkang wajar menolak dan menyelar pendakwaan berpilih serta bermotifkan politik terhadap Presiden.

“Lebih baik Datuk Lokman Noor Adam, Isham Jalil dan Ketua Puteri UMNO lagi. Mereka faham konteks pendakwaan terhadap pre­siden dan mereka bertindak melawan. Pemuda pula lesu dan akur,” katanya dalam status di Facebook beliau, semalam.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad meminta, semua ahli UMNO bertenang dan terus istiqamah bersama parti dalam perjuangan memenangi se­mula keyakinan rakyat.

Pada masa sama, katanya, ahli juga mesti berfikiran positif dan bersikap rasional dalam apa juga keadaan.

“Ini termasuklah dalam isu memberi layanan adil sejajar dengan prinsip innocent until proven guilty kepada presiden. Janganlah ahli UMNO bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Khaizul Nizam Zuldin terkejut dengan kenyataan pergerakan itu yang disifatkan telah mengikut rentak pihak kerajaan.

“Kenyataan berkenaan me­ngundang perpecahan dalam UMNO. Pengukuhan parti yang bagaimana ingin dicorakkan oleh Ketua Pemuda UMNO. Pemuda Bahagian Bera mendesak ketua pemuda dan barisan Exco menarik balik kenyataan mereka,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.