PBSNT Akui Hanya Jual 2,000 Dari 30,000 Tiket Final Piala Malaysia

KUALA NERUS – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengakui hanya 2,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini dijual di stadium.

Timbalan presidennya Hishamuddin Abdul Karim berkata 28,000 lagi tiket diagih kepada persatuan dan kelab bola mengikut daerah, lapor Harian Metro.

Menolak ada kepentingan politik, beliau berkata tiket tersebut juga diagih kepada kelab penyokong, akademi sukan, GLC dan penyokong Terengganu FC.

“Kami tidak tahu bagaimana kaedah kelab penyokong mengagihkan tiket berkenaan sama ada dibuat secara telus atau sebaliknya,” kata wakil rakyat Tepuh.

Beliau berkata penjualan 2,000 tiket dimaklum awal supaya penyokong boleh mendapatkannya daripada persatuan dan kelab di daerah masing-masing.

Hishamuddin enggan menyalahkan sesiapa tetapi pihaknya akan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika PBSNT mendapati penjualannya tidak telus.

Semalam, enam penyokong Terengganu FC termasuk wanita pengsan ketika lebih 2,000 orang bersesak untuk mendapatkan tiket di Stadium Shah Alam.

Sinar Harian hari ini pula melaporkan ratusan penyokong Perak turut kecewa berikutan tiket perlawanan akhir habis dijual dalam masa yang singkat.

“Kaunter buka jam 9.15 (pagi), tutup jam 10.10. Mustahil tiket boleh habis? Memang saya kecewa dan marah, dah la saya cuti setengah hari,” kata Ahmad Faizul Yusuf, 36.

Hadir seawal jam 6.30 pagi sebelum beredar kerana tiada orang, Nurazlina Zainal Mokhtar juga kecewa apabila datang semula ke Stadium Perak jam 8.30 pagi.

“Orang dah ramai beratur, tapi tak lama rasanya dalam 18 kaunter tutup dengan alasan tiket habis. Tak boleh la buat macam ni kena beritahu,” katanya.

FAM sebelum ini mengumumkan peruntukan 30,000 tiket untuk setiap persatuan bola sepak negeri yang terlibat dalam perlawanan akhir piala itu. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.