KDNK Ekonomi Malaysia Diunjur Lebih Rendah Tahun Ini dan 2019

KUALA LUMPUR – RAM Ratings mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.9% tahun ini dan 4.5% bagi 2019, lebih rendah berbanding 5.9% yang dicapai tahun lepas.

RAM dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini mencerminkan kesan berlarutan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China ke atas persekitara luaran, selain pelaburan prasarana yang kurang dan perbelanjaan awam-swasta tempatan yang rendah dalam tempoh terdekat ini.

“Ia termasuk jangkaan kami yang kerajaan tidak akan menyokong sebarang dasar pengembangan fiskal sehingga kewangannya bertambah baik.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan Bajet 2019 menyediakan gambaran lebih baik mengenai rancangan pentadbiran baru. Ini penting bagi merangka unjuran pertumbuhan akhir RAM bagi 2019,” kata Ketua Penyelidikan RAM, Kristina Fong.

Sementara itu, Ketua Penarafan Negara RAM, Esther Lai berkata, bank pusat dijangka mengekalkan kadar dasar semalamannya tidak berubah pada 3.25% dalam keadaan ruang fiskal terhad kerajaan, unjuran inflasi sederhana pada 1.7% hingga 2.5%, dan keperluan untuk mengimbangi tekanan penurunan pertumbuhan dan kecenderungan aliran keluar modal.

“Asas ekonomi negara secara tradisinya menjadi kekuatan penting penarafan, dan terus kekal sedemikian. Memandangkan jangkaan pertumbuhan penurunan KDNK adalah sementara dan bukannya struktur, kami tidak merasakan ini akan menjejaskan penarafan negara Malaysia.

“Penarafan oleh RAM bagi kerajaan Malaysia adalah pada gA2/Stabil dan seaAAA/Stabil,” katanya.

Bagi projek prasarana, RAM berkata kerajaan berhasrat untuk menyelaraskan perbelanjaannya dalam projek dan konsesi awam yang besar, sejajar dengan manifesto pilihan raya.

Ketua Penarafan Perniagaan Agribisnes, Hartanah dan Pembinaan RAM, Thong Mun Wai berkata, sektor pembinaan, jalan bertol dan kuasa yang mana penglibatan dan pembayaran kerajaan adalah ciri utamanya, telah menjadi tumpuan selepas pilihan raya.

“Sektor-sektor ini menyumbang sebahagian besar daripada bon atau sukuk tertunggak pasaran modal hutang. Justeru, apa-apa tindakan oleh kerajaan boleh membawa kesan meluas kepada minat pasaran modal bagi pembiayaan pembangunan prasarana.

“Atas alasan ini, kami percaya kerajaan akan mengimbangi antara hasratnya dan sebarang kesan berpotensi dalam pasaran,” katanya.

RAM juga menyemak semula prospek bagi sektor runcit kepada stabil daripada negatif bagi Julai 2018, dipacu oleh sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan lebih tinggi serta pengenalan langkah mesra pengguna.

“Indeks Sentimen Pengguna MIER akhirnya melepasi paras 100 mata dalam suku kedua 2018, dan kekal di atas paras 100 pada Suku Ketiga 2018, selepas turun selama 15 suku berturut-turut.

“Bacaan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM terbaru bagi suku keempat 2018-suku pertama 2019 juga positif,” kata Kevin Lim, Ketua Penarafan Pengguna dan Perindustrian RAM. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.