“Itulah Yang Sebaiknya,” UMNO Kluang Sokong Cadangan Pemuda Minta Zahid Bercuti

SHAH ALAM – Cadangan yang disuarakan sayap pergerakan Pemuda UMNO yang meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah, adalah sekadar pandangan akar umbi.

Ketua UMNO Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, beliau berpendapat saranan agar Ahmad Zahid bercuti adalah sangat wajar memandangkan beliau dilihat masih gagal menentukan hala tuju parti dengan jelas sejak dipilih sebagai Presiden.  

“Apa yg dinyatakan oleh Pemuda UMNO adalah suara rakyat biasa di akar umbi.. bagi saya, itulah yg sebaiknya.

“Sejak dipilih sebagai Presiden 30/6/18, Datuk Seri Zahid Hamidi tak jelas halatujunya, MP BN/UMNO semakin berkurang.. tambah pula hari ni berdepan dengan 45 pertuduhan di mahkamah,” katanya di Twitter.

Ahmad Zahid ketika ini berdepan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. 

Susulan kes berkenaan, timbul persoalan tentang kedudukan beliau sebagai Presiden. Majlis Tertinggi UMNO dilaporkan akan mengadakan mesyuaratnya bulan depan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu Md Jais turut menyelar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyamakan pendakwaan terhadap presiden parti itu dengan fitnah terhadap Nabi Muhammad.

Beliau menyifatkan kenyataan Lokman itu sebagai bodoh dan memalukan parti.

“Saya nasihatkan Lokman Adam supaya tak bercakap mengikut nafsu seandainya tak cukup ilmu.. menyamakan Presiden yang didakwa di mahkamah dengan fitnah yang dilempar kepada Nabi adalah suatu kebodohan – Muhammad saw itu maksum.. ia hanya  memalukan UMNO kerana saudara (Lokman) pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Tweet itu turut diulang oleh ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.