Isu Zahid: Wanita UMNO Nasihat Ahli Pegang Prinsip ‘Tak Bersalah Sehingga Dibuktikan Bersalah’

SHAH ALAM – Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad menasihatkan ahli parti itu agar mengambil pendekatan bertenang dengan berfikiran positif dan bersikap rasional terutama ketika parti diuji.

Beliau merujuk kepada pendakwaan yang sedang dihadapi oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

“Ini termasuklah dalam isu memberi layanan adil sejajar dengan prinsip ‘innocent until proven guilty’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

“Janganlah ahli-ahli UMNO bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Parit Sulong itu susulan cadangan sayap Pemuda UMNO semalam yang sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini adalah bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

Jelas Asyraf, cadangan ini juga tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

Dalam pada itu Noraini berharap apa yang berlaku tidak mematahkan semangat perjuangan ahli-ahli parti.

“Jangan sampai fokus dan tumpuan kita ke arah memulih dan memperkasakan semula parti keramat ini terjejas dan teralih susulan penangkapan dan pendakwaan ke atas Presiden parti.

“Sehubungan itu, semua pihak harus menunjukkan solidariti di saat UMNO dan pemimpinnya sedang diuji,” katanya. 

Ahmad Zahid ketika ini berdepan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.