Asyraf Wajdi Tidak Buat Tuduhan, Hanya Lontar Pendapat – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hanya melontarkan pendapat hasil keputusan mesyuarat khas pergerakan itu berhubung isu meminta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika.

Penganalisis politik, Ab Jalil Backer berkata saranan tersebut juga dilakukan secara berhemah tanpa sebarang tuduhan.

“Pemuda UMNO bagi pendapat. Malah Dr Asyraf Wajidi menulis dengan baik dan penuh berhemah. Beliau tidak membuat sebarang tuduhan atau menghina Presiden,” katanya dipetik dari facebook beliau.

Menurut beliau lagi Pemuda UMNO tidak bersendirian dalam isu ini kerana ramai juga yang memiliki pemikiran yang sama dalam isu tersebut.

“Apakah semua mereka ini kita hendak halau keluar dari UMNO? UMNO harus belajar meraikan pelbagai pandangan.

“Jika tidak mahu terima pandangan beliau tidak mengapa. Bagilah pandangan yang rasional bagi menolak pandangan pemuda, usah maki-maki,” ujarnya.

Ab Jalil turut menyarankan Majlis Tertinggi UMNO menyegerakan mesyuarat khas membincangkan isu tersebut.

“Akhirmya, adakah Majlis Tertinggi UMNO masih wujud? Jika masih wujud buatlah mesyuarat khas dan buat keputusan atas saranan Pemuda dan beberapa pihak dalam UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, hari ini Ahmad Zahid memberi gambaran beliau akan terus kekal memimpin UMNO.

“Terima kasih di atas pandangan PPUM (Pergerakan Pemuda UMNO) @PPUMOnline.

“Saya raikan kepelbagaian pendapat. Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan UMNO,” katanya dipetik dari status di laman Twitter beliau yang turut disertakan dengan hashtag #umnobangkit #prayforumno. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.