Ketatkan Syarat Miliki Kad Kredit, Ajar Rakyat Tidak Berhutang

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengetatkan syarat mendapatkan kemudahan kad kredit dalam Bajet 2018 supaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan budaya berhutang dan gaya hidup mewah yang berlebih-lebihan.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, budaya berhutang menggunakan kad kredit perlu dipandang serius kerana ia menyebabkan seseorang ber­belanja melebihi kemampuan, lapor Utusan.

Katanya, langkah mengetatkan syarat mendapatkan kemudahan kad kredit amat penting kerana sebahagian besar masyarakat mudah tertarik dengan apa yang dipaparkan di media sosial dan tindakan rakan-rakan serta keluarga meletakkan barangan berjenama sebagai simbol status dalam masyarakat.

“Kerajaan juga perlu mencari jalan supaya kempen kesedaran secara berterusan dijalankan melibatkan semua pihak termasuk swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agar dapat mengubah gaya hidup rakyat, tidak terikut-ikut dengan trend semasa yang bersifat kebendaan.

“Alternatif gaya hidup yang mapan juga amat digalakkan seperti menyewa rumah bukannya membeli, membeli kereta terpakai atau pakej perkahwinan yang berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2018 di Parlimen, Jumaat ini.

Berdasarkan maklumat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), daripada 516,000 peserta AKPK dalam tempoh 10 tahun sehingga Disember lalu, sebanyak 15 peratus berumur di bawah 30 tahun manakala 39 peratus di antara 31 hingga 40 tahun dan 46 peratus berumur 41 tahun ke atas.

Kaji selidik AKPK itu menunjukkan sebanyak 49.3 peratus responden mempunyai perancangan kewangan yang lemah, diikuti kegagalan dalam perniagaan (15.2 peratus), kos sara hidup tinggi (12.3 peratus), per­belanjaan perubatan yang tinggi (10.9 peratus) dan kehilangan pekerjaan (9.5 peratus).

Sementara itu, Presiden Ge­nerasi Muda Berjaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil pula berharap kerajaan menilai se­mula insentif pengurangan cukai pendapatan bagi mereka yang bekerja atau menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara negara di rantau ASEAN selain Singapura, yang masih mempunyai kadar cukai pendapatan dan korporat yang tinggi walaupun melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kerajaan juga disaran memberi beberapa kelonggaran kepada golongan peniaga, antaranya tidak mengenakan sebarang caj kepada mereka yang mahu menutup syarikat tidak lagi aktif.

Kos menutup syarikat tinggi sehingga ada peniaga tidak mampu berbuat demikian menyebabkan mereka didenda dan pengarah syarikat disenaraihitam­kan,” katanya.

Beliau turut berharap syarikat-syarikat yang mengambil pe­kerja ditamatkan perkhidmatan diberi insentif dan pelepasan cukai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.