Arab Saudi Mahukan Angin Perubahan

RIYADH – Putera Mahkota Mohammed bin Salman kelmarin berjanji menjadikan Arab Saudi negara ‘sederhana dan terbuka’, imej yang memenuhi selera pelabur asing serta golongan belia di negara berkenaan.

Menurut AFP, Putera Salman, 32, tidak berlapik dalam mengisytiharkan realiti baharu untuk negara itu, beberapa jam selepas mengumumkan projek bandar raya mega berharga AS$500 bilion (RM2.1 trilion) yang akan mempunyai undang-undang tersendiri di pantai Laut Merah, lapor Kosmo.

“Kami mahukan sebuah kehidupan normal. Kehidupan yang mana agama kami diterjemahkan kepada amalan to­leransi dan tradisi kami kepada kebaikan.

“Sebanyak 70 peratus penduduk Arab Saudi berumur bawah 30 tahun dan sejujurnya, kami tidak mahu menghabiskan masa 30 tahun lagi untuk menangani idea yang membinasakan. Kami akan memusnahkannya hari ini,” katanya kepada 2,000 pelabur yang menghadiri forum ekonomi di Riyadh.

Putera Mohammed yang dikenali dengan singkatan namanya, MBS berkata, beliau akan memastikan Arab Saudi meninggalkan era 1979, merujuk kepada kebangkitan politik Islam pada tahun-tahun berikutnya selepas pembunuhan Raja Faisal dalam tahun 1975.

Tahun awal 1970-an mencetuskan perubahan besar di negara pengeksport minyak terbesar itu termasuk pengenalan televisyen dan sekolah untuk kanak-kanak perempuan.

Perubahan itu bagaimanapun terhenti selepas keluarga Al-Sheikh yang mengawal peraturan agama dan sosial di Arab Saudi serta keluarga peme­rintah Al-Saud perlahan-lahan mengukuhkan dasar konservatif yang sinonim dengan Riyadh.

Kenyataan Putera Mohammed kelmarin adalah serangan paling terbuka oleh seorang pegawai Arab Saudi terhadap kelompok ulama yang mana pengaruh mereka dalam masyarakat kini berdepan penentangan serius.

Putera muda itu dianggap teraju di sebalik keputusan Raja Salman untuk membatalkan larangan memandu terhadap wanita Arab Saudi pada bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.