Adun DAP Gesa Kerajaan Pulau Pinang Henti Projek Di Kawasan Bukit

GEORGE TOWN — Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP menyeru kerajaan Pulau Pinang supaya menghentikan semua projek pembangunan di kawasan bukit berikutan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 orang Sabtu lepas.

ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu berkata kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu berhenti ‘mencurahkan tenaga untuk memesong, menafikan dan mempertahankan’ selepas kejadian tersebut berlaku.

“Sebaliknya, mereka perlu meningkatkan usaha untuk menghentikan projek pembangunan di kawasan bukit dan mengambil serius maklum balas daripada mereka yang tidak bersetuju dengan pembangunan di pulau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 11 pekerja projek perumahan mampu milik tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu semasa mereka sedang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lereng bukit.

Teh juga menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya mengarahkan pemaju Granito@Permai untuk membersihkan lebihan tanah di tapak pembinaan itu bagi memastikan tiada lagi mayat yang tidak dijumpai.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi memastikan tiada lagi mangsa tertanam dalam tanah runtuh yang mengorbankan seorang rakyat Malaysia dan 10 pekerja asing itu.

“Walaupun terdapat pengiraan kepada 14 nama yang dikemukakan oleh pemaju kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, kerajaan masih mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan semua keraguan dengan membersihkan kawasan kejadian,” katanya.

Teh juga mendakwa beliau diberitahu pada 21 Oktober lepas bahawa 20 orang disyaki tertimbus di bawah serpihan di tapak pembinaan itu.

Beliau meminta kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan pemaju projek, Taman Sri Bunga Sdn Bhd (BSG) bagi membantu pembeli projek perumahan mampu milik itu.

Katanya pembeli kini merasa ragu-ragu kerana tidak tahu sama ada meneruskan pinjaman mereka atau tidak.

“Saya harap BSG dan kerajaan negeri dapat memberikan penyelesaian yang baik untuk mereka yang telah membeli unit rumah di Granito@Permai,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.