80 Pusat Tahfiz Patuh Piawaian Keselamatan

KUALA LUMPUR – Hanya 80 daripada 1,238 pusat tahfiz di seluruh negara menerima Kelulusan Bangunan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah yang diluluskan JBPM itu, sebanyak 73 pusat tahfiz berdaftar dengan majlis agama Islam negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala tujuh lagi tidak berdaftar dengan mana-mana pihak.

Beliau memberitahu, angka tersebut diperolehi hasil pemeriksaan JBPM terhadap semua pusat tahfiz di seluruh negara sepanjang tempoh 26 September hingga 17 Oktober lalu.

“Selain itu, sebanyak 252 pusat tahfiz telah dikenal pasti tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 169 pusat tahfiz adalah berdaftar dengan majlis agama Islam negeri atau Jakim manakala 83 lagi tidak berdaftar dengan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR – Petaling Jaya Selatan) mengenai usaha kerajaan memastikan keselamatan bangunan pusat tahfiz ekoran insiden kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa pada sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim baru-baru ini mendedahkan agensi itu mendapati sebanyak 50 peratus daripada 956 pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara berada dalam keadaan tidak selamat sekali gus boleh mengundang bahaya kepada penghuninya.

Dalam pada itu, Noh menambah, sebanyak 367 notis bahaya kebakaran telah dikeluarkan kepada 83 pusat tahfiz dan mereka diberikan tempoh antara 90 ke 180 hari untuk mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Tempoh 90 hari diberikan kepada pusat tahfiz yang mempunyai isu kemudahan alat pengesan kebakaran dan pemadam api manakala 180 hari pula untuk struktur utama seperti tangga, dinding penghadang dan sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 125 kes kebakaran pusat tahfiz direkodkan antara tahun 2015 hingga 2017 dengan melibatkan 24 kematian dan enam kecederaan.

Noh menjelaskan, berikutan kejadian kebakaran kerap berlaku di pusat tahfiz, Skuad Bomba Tahfiz dilancarkan pada Mei lalu dan sehingga kini, sebanyak 269 skuad telah diwujudkan dengan melibatkan seramai 3,150 ahli. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.