Adik Beradik ‘Pendekar Cangkul’ Mengaku Salah, Didenda RM5,000

KULAI – Dua adik beradik yang menjadi ‘superstar media sosial’ selepas bertindak menyerang dan mencederakan kakitangan SAJ Holding Sdn Bhd (SAJ) minggu lalu mengaku bersalah di mahkamah, lapor Harian Metro.

 

Youzairy Ya’cob, 36, dan adiknya Mohd Youzaimeer, 29, dijatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang selepas membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal.

 

“Sepatutnya kamu adik beradik berbincang dengan lebih matang dalam isu bayaran bil, bukan isu besar pun yang perlu kamu menggunakan kekerasan.

 

Mahkamah ingin ingatkan bahawa keganasan bukan caranya,” kata Majistret Ahmad Farid yang turut menyeru kedua-dua tertuduh insaf dengan kesilapan mereka selepas tujuh hari ditahan reman di dalam lokap.

 

Untuk kesalahan pertama, Youzairy didakwa mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan, dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan menyerang Muhammad Khairuzzaman Yaakub, 30, dengan bersenjatakan sebatang cangkul.

 

Bapa kepada dua orang anak itu turut dikenakan hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Aysraf Abd Ghani, 20.

 

Bagi pertuduhan ketiga, Youzairy dan adiknya, Mohd Youzaimeer didenda RM2,000 atau empat bulan penjara atas kesalahan bersama-sama mencederakan Muhammad Khairuzzaman.

 

Pertuduhn kedua dan ketiga dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

 

Sementara itu, Mohd Youzaimeer berdepan hukuman denda RM3,000 atau hukuman empat bulan penjara bagi pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap menggunakan topi keledar mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

 

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haniza Yazed dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman kerana Youzairy kini tidak bekerja selepas insiden tersebut.

 

“Dia mempunyai dua anak dan isterinya berkerja sebagai pembantu kedai makan. Sebelum ini dia mempunyai pendapatan RM1,600 sebulan tetapi kini sudah tidak bekerja kerana diberhentikan oleh majikan.

 

Manakala Youzaimeer pula belum berkahwin dan bekerja,” katanya.

 

Kedua-dua beradik mencuri tumpuan ramai minggu lalu dan diberi beberapa jolokan seperti ‘Mat Cangkul, Pendekar Cangkul dan Hang Cangkul’ selepas aksi mereka menyerang kakitangan SAJ menggunakan cangkul viral di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.