Kadar Kemiskinan Di Sabah Turun Kepada 4.0 Peratus

KOTA KINABALU – Kadar kemiskinan di Sabah menurun kepada 4.0 peratus pada tahun 2014 berbanding 8.1 peratus pada tahun 2012 dan 19.7 peratus pada tahun 2009, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

 

Musa berkata penurunan berkenaan adalah hasil keberkesanan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif oleh kerajaan dalam membela golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

 

“Penurunan kadar kemiskinan ini jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan usaha-usaha membasmi kemiskinan.

 

“Antaranya menerusi program 1AZAM, Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Agropolitan, Ladang PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin), Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES) dan Program Bantuan Rumah (PBR),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) / Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah di sini.

 

Musa juga berkata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di luar bandar di Sabah bagi miskin tegar dan miskin di Sabah masing-masing telah meningkat kepada RM760 dan RM1,180 pada tahun 2014.

 

Katanya bagi kawasan bandar pula, angka PGK bagi miskin tegar dan miskin juga telah meningkat masing-masing kepada RM690 dan RM1,160 pada tahun 2014 berbanding RM630 dan RM1,080 pada 2012.

 

Menurut Musa usaha membasmi kemiskinan perlulah komprehensif dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan luar bandar sebaliknya perhatian sewajarnya perlu diberi kepada kemiskinan dalam bandar.

 

 

“Saya menyeru semua pihak agar terus meningkatkan usaha, komitmen dan kerjasama bagi memastikan program pembasmian kemiskinan di seluruh negeri mencapai matlamatnya untuk kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar,” tegasnya.

 

Mengenai Program Bantuan Rumah (PBR) sejak Rancangan Malaysia RMK-10 hingga ke hari ini, Musa berkata sebanyak 1,026 buah rumah milik golongan daif atau kurang berkemampuan telah dibina semula bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada golongan itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.