Polis Siasat Mat Saleh Mengamuk Pecahkan Cermin Kereta Warga Tempatan

Serdang – Polis sudah menerima laporan berhubung insiden lelaki warga asing ‘naik hantu’ dan bertindak memecahkan cermin kenderaan kerana mendakwa ternampak wanita memberikan isyarat lucah kepadanya di Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, semalam.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan.

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Menerusi video hampir tiga minit itu yang menjadi viral di laman sosial, lelaki berusia lingkungan 40-an yang menaiki motosikal menahan kereta berhampiran susur keluar Universiti Pertanian Malaysia (UPM) arah Kuala Lumpur selepas terlihat penumpang wanita kenderaan itu menunjukkan isyarat lucah kepadanya.

 

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi, suspek yang memaki hamun lelaki warga tempatan itu bertindak ganas dengan memecahkan cermin hadapan kenderaan berkenaan dengan menggunakan helmet.

 

Bagaimanapun, suspek yang tidak puas hati turut mengugut untuk membunuh dua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.