PKS Perlu Tekankan Aspek Pelabelan, Penjenamaan Dan Sijil Halal – Ahmad

PONTIAN – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini perlu menitikberatkan aspek pelabelan, penjenamaan dan pensijilan halal dalam penghasilan produk masing-masing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

 

 

Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan produk PKS menembusi pasaran eksport ke negara-negara ASEAN dan negara lain yang akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

 

 

Katanya langkah itu juga dilihat bersesuaian dengan keperluan PKS untuk menembusi pasaran halal di peringkat antarabangsa.

 

 

“Pasaran halal mempunyai nilai trilion dolar di luar negara. Jadi, jangan mengambil mudah tentang halal.

 

 

“Mereka mesti mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya selepas merasmikan Seminar Pensijilan Halal dan Bengkel Kepentingan Pembungkusan dan Penjenamaan SME Corp di sini Ahad.

 

 

Ahmad berkata kementerian juga akan membuat penerangan mengenai kepentingan aspek tersebut dan kualiti produk di kawasan luar bandar.

 

 

PKS membentuk sebanyak 97.3 peratus (645,136) daripada jumlah syarikat yang berdaftar dengan SME Corp di seluruh negara.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.