Kenaikan Gaji Minimum Tak Selaras Dengan Produtiviti, Kata Persatuan Majikan

SHAH ALAM – Kenaikan gaji minimum dari RM900 ke RM1,000 yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan satu pukulan hebat kepada majikan.

 

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kenaikan gaji minimum tersebut tidak selaras dengan peningkatan produktiviti yang oleh tenaga buruh.

 

“Ia satu tamparan kepada majikan sektor swasta kerana ia akan memberi beban peningkatan kos sebanyak 11 peratus di sekitar Semenanjung dan 15 peratus di Sabah dan Sarawak.

 

“Peratusan peningkatan itu amat tinggi jika dibandingkan dengan peningkatan produktiviti yang hanya  tujuh peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, semalam.

 

Kementerian Sumber Manusia dalam reaksi berkenaan gaji minimum baharu yang diumumkan yakin ia dapat membantu pekerja swasta menampung kos sara hidup di negara ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot berkata, pengumuman kadar gaji baharu dalam Bajet 2016 juga tidak membebankan majikan dan industri.

 

Mengulas lanjut, Shamsuddin  berkata, kenaikan paras gaji minimum akan membantutkan hasrat pelabur asing untuk melabur di negara ini.

 

“Peningkatan kos sepatutnya tidak melebihi peningkatan produktiviti, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

 

“Ini sudah pasti membimbangkan pelabur dan mungkin membantutkan hasrat pelabur yang ingin melabur di Malaysia,” katanya lagi.

 

Bajet 2016 menyatakan gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 manakala untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia naik kepada RM920 daripada RM800, bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.