Isu Langkah Rawang Hanya Usik-Usik Nakal, Kata Exco Selangor

KUALA LANGAT – Isu Langkah Rawang sebenarnya hanyalah usik-usik nakal kumpulan yang ingin jatuhkan kerajaan negeri Selangor.

 

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata, tiada isu besar yang mengganggu dalam pentadbiran kerajaan negeri ataupun hubungan dalam parti.

 

Menurutnya, isu ini tidak kedengaran sebelum ini dan tiada sebab Azmin perlu ditukar.

 

“Memanglah kalau nak diukur semuanya tiada yang sempurna, namun pelbagai perancangan negeri telah dilaksanakan termasuk kita mampu kurangkan defisit, pembangunan rumah mampu milik berjalan lancar dan sebagainya walaupun berdepan dengan masalah parti politik dalam kerajaan negeri.

 

“Namun, sifat mesyuarah Azmin yang dipimpinnya sejak dulu lagi dapat mengekalkan kestabilan politik hari ini,” katanya yang menganggap isu Langkah Rawang tersebut adalah kerja orang bermimpi yang sengaja mencari masalah.

 

Mengulas mengenai Bajet Selangor yang bakal dibentangkan pada 30 Oktober nanti, beliau berharap beberapa perancangan diambil kira termasuk pemantapan pihak berkuasa tempatan ke arah kelompok kepimpinan belia yang berdaya saing demi menjamin kualiti untuk memimpin generasi muda.

 

Katanya lagi, kerajaan negeri perlu mengambil kira beberapa insentif rumah mampu milik golongan muda sebagai aspek penting kerana isu itu menjadi topik penting dalam keadaan negara berdepan os sara hidup yang tinggi.

 

“Selain itu, beberapa aspek baru berkaitan pembangunan ekonomi juga perlu ditingkatkan.

 

“Harapan saya dari sudut ‘ trend’ bajet perlu diberikan kepada generasi belia dan ia perlu lebih diutamakan,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu, melihat pembentangan bajet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu, beliau berpandangan, belanjawan tersebut  tidak menangani isu-isu besar yang berlaku dalam negara.

 

Amirudin berkata, isu belanjawan bukan bagaimana isu hendak mengagihkan wang sahaja kepada golongan tertentu dan hendak tahu nilai berapa sesuatu golongan itu dapat.

 

Katanya, kerajaan seharusnya membentuk belanjawan yang menunjukkan perjalanan kepercayaan rakyat.

 

“Antaranya termasuk kepercayaan terhadap isu kehakiman selain kredibiliti SPRM yang sedang hangat diperkatakan berikutan kes 1MDB.

 

“Seharusnya belanjawan menjurus kepada menangani masalah kepercayaan rakyat berkaitan isu itu,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berpandangan Najib seharusnya membetulkan pandangan ekonomi masyarakat yang kononnya boleh memulihkan sistem ekonomi negara dan sistem prinsip negara. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.