Adakah Dewan Rakyat Ini Ada Jin, Hantu Atau Jembalang? – Speaker

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sekali lagi menegaskan bahawa apa yang berlaku kepada Ahli Parlimen DAP Gelang Patah yang telah digantung selama 6 bulan daripada menghadir sidang Dewan tidak melibatkan sebarang unsur peribadi.

 

Jelas beliau, tindakan itu diambil kerana Lim Kit Siang bertindak mempertahankan hujah tanpa membuat permohonan maaf.

 

Penasihat DAP itu sebelumnya  menuduh Speaker sebagai seorang yang diktator dan didakwa cuba mensabotaj Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana menghentikan siasatan terhadap 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Apa yang berlaku kepada Gelang Patah, ‘nothing personal’, apabila ada Yang Berhormat mempertahankan hujah, dengan mengeluarkan perkataan binatang (Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Ram Karpal Singh), walaupun dah ditarik balik, kita kena beringat sebelum mengeluarkan perkataan, tidak ada keperluan untuk saya suruh tarik balik jika tidak ada salahnya.

 

“Cuma kalau tak berani keluarkan perkataan sedemikian di luar dewan,  kenapa kita tergamak cakap seperti itu dalam dewan? dewan ini ada jin? hantu? atau jembalang yang merasuk kita langsung tak boleh tepis(elak keluar kenyataan) ?” sindirnya sebelum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyambung semula sesi perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, Isnin.

 

Tambahnya, sikap beliau yang terpaksa meninggikan suara lebih daripada ahli parlimen lain hanyalah bertujuan supaya ahli Dewan Rakyat itu peka dengan arahan Speaker.

 

“Itu sebab kadang-kadang saya tinggikan suara, kalau tak, ahli parlimen Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) tinggi suara, saya tinggikan suara lagi,” tambahnya.

 

Katanya lagi, beliau turut berharap supaya semua ahli parlimen kerajaan atau pembangkang mengawal perasaan ketika berbahas daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak patut bagi menjaga kemuliaan di Dewan Rakyat.

 

Pada Khamis lalu, Dewan Rakyat kecoh dengan perbahasan usul menggantung Kit Siang yang enggan menarik balik kenyataan menghina Speaker. – Bnbbc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.