Tragedi Berdarah Tak Bai Masih Dipandang Sepi

New York – Genap 10 tahun tragedi berdarah Tak Bai di selatan Thailand semalam namun nasib keluarga kira-kira 85 mangsa yang maut sehingga kini masih belum terbela selepas tiada pihak dipertanggungjawabkan di atas kejadian tersebut.

Pengarah Human Rights Watch Asia, Brad Adams berkata kegagalan kerajaan Thai mendakwa anggota pasukan keselamatan di atas pembunuhan beramai-ramai itu, menjejaskan imej polis, tentera serta mahkamah negara tersebut.

“Kegagalan kerajaan membela nasib penduduk Islam di selatan Thailand juga menjadi sebab pergolakan semakin menjadi-jadi di wilayah itu,” katanya seperti yang dilaporkan di laman web Human Rights Watch.

Jelas Adams, apa yang berlaku di Tak Bai lebih kurang 10 tahun lalu tidak harus dilupakan.

“Memberi keadilan kepada mangsa tragedi itu merupakan satu langkah penting untuk menghentikan kekejaman dan menghormati hak penduduk Islam di selatan Thai,” ujarnya.

Pada 25 Oktober 2004, seramai tujuh penduduk Islam mati ditembak di hadapan sebuah balai polis di daerah Tak Bai ketika membantah penahanan enam rakan mereka.

Bantahan besar-besaran itu disusuli penahanan lebih kurang 1,300 orang penduduk, dengan 78 daripadanya maut akibat sesak nafas ketika dipindahkan menaiki trak ke Kem Tahanan Tentera Inkayut di Pattani.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Agung Thailand menyatakan, pihak keselamatan tidak bersalah dalam tragedi itu atas alasan mereka hanya menjalankan tugas.

Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata, kerajaan juntanya akan menyambung semula rundingan dengan puak pemisah, namun beliau tidak pernah sekali menyentuh mengenai masyarakat Islam.

Ketika masih berkhidmat dalam angkatan tentera, Prayuth juga sering mengingatkan aktivis hak manusia dan wartawan agar tidak membesar-besarkan tragedi pembunuhan Tak Bai kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.