Polis Ambil Alih Keselamatan UM Halang Pidato Anwar Esok

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil alih keselamatan kampus Universiti Malaya (UM) ‎bagi menghalang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk menyampaikan pidato esok, kata Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu dalam surat pekeliling kepada semua pelajar UM berkata, pihaknya mendapat amaran daripada pihak PDRM yang pidato anjuran Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) itu adalah perhimpunan haram yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.

“Kesemua pintu pagar universiti (kecuali pintu pagar utama) juga akan ditutup pada 27 Oktober 2014 bermula jam 4 petang bagi memastikan tiada kenderaan luar memasuki kawasan kampus.

“Pihak polis akan mula mengawal kawasan kampus bermula jam 7 pagi.

“Pihak PDRM akan mengambil alih keselamatan universiti sepanjang tarikh 27 Oktober,” katanya.

Rohana berkata, pelajar juga tidak dibenarkan berada di Dataran Tunku Canselor (DTC) atau kawasan sekitar bermula jam 4 petang.

HEP UM turut melarang pelajarnya menggunakan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 selepas memutuskan program itu haram kerana tidak mendapat kelulusan universiti.

“Mana-mana pelajar yang melanggar akta ini boleh dikenakan tindakan gantung atau dibuang pengajian,” katanya.

Katanya, pelajar UM sama sekali tidak boleh terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dan akan dikenakan tindakan tatatertib jika didapati ada berbuat demikian.

“Pelajar diingatkan tidak terlibat atau menyertai program tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Sekiranya terdapat pelajar yang terlibat atau menyertai program tersebut, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak universiti,” katanya.

Beberapa wakil mahasiswa daripada beberapa universiti semalam menghantar memorandum kepada PDRM di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur, bagi membantah penganjuran program itu.

Pengerusi Penggerak UM Wan Mohd. Suhail Wan Senu dilaporkan berkata, pihaknya bimbang Anwar akan menghasut mahasiswa turun ke jalan raya menyokong agenda politik peribadinya seperti 1998.

“Lebih merisaukan kami, Presiden PMUM Fahmi Zainol atas kapasiti individu dengan lantang menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) mengajak mahasiswa turun ke jalanan dan menyertai Himpunan Reformasi Rakyat Hakim Negara.

“Tindakan beliau itu tanpa sebarang persetujuan atau berunding bersama dengan 43 ahli MPP terlebih dahulu.

“Kenyataan Fahmi menyeru golongan mahasiswa untuk terlibat dalam himpunan reformasi itu bukanlah agenda yang sihat, malah dia secara nyata mencabar sistem kehakiman negara kerana mencampuri urusan perundangan dalam kes Anwar,” katanya dipetik laporan Utusan Online.

Turut sama menyerahkan memorandum tersebut adalah perwakilan MPPUM, wakil mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Fahmi dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, program itu akan diteruskan walaupun berdepan risiko bakal dikenakan hukuman gantung pengajian dan dibuang universiti selepas Rohana mengisytiharkan program itu tidak mendapat kelulusan.

Malah turut mengajak mahasiswa turun ke Putrajaya pada Selasa ini bagi menunjukkan solidariti terhadap Anwar yang bakal berdepan hukuman penjara jika gagal dalam kes rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam tuduhan liwat.

Terdahulu UM menafikan telah mengeluarkan notis amaran kepada mahasiswa melarang mereka menghadiri pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus perdana itu esok.

Pentadbiran UM turut menafikan bahawa polis akan mengambil alih menjaga keselamatan kampus itu esok bagi menghalang majlis itu.

“Tiada ada perkara bahawa polis akan mengambil alih. UM mempunyai sekuriti sendiri, kenapa kami perlu pihak polis masuk ke sini?” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Datuk Rohana Yusof.

Beliau juga menafikan pihaknya mengeluarkan sebarang ancaman untuk mengambil tindakan displin terhadap pelajar yang terlibat dalam majlis itu.

“Tidak ada notis. UM tidak pernah memberi kebenaran pada aktiviti ini, jadi kami tidak jangka majlis tersebut akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu wakil majlis perwakilan pelajar Timbalan Setiausaha Leong Yu Sheng mengeluarkan kenyataan media yang mendakwa pihak universiti akan menutup kawasan kampus bagi menghentikan acara pada malam esok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.