Pahang Layak Ke Perlawanan Akhir Hasil Aksi Cemerlang Pemain

Kuantan – Skuad Pahang sememangnya layak beraksi di pentas final Piala Malaysia kerana telah mempamerkan persembahan yang mantap dan jitu ketika bertemu Kedah pada peringkat separuh akhir kedua Jumaat malam.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Che Nasir Salleh berkata, barisan pemain Pahang beraksi sempurna di separuh masa pertama dan meneruskan momentum cemerlang itu di babak kedua.

“Kami mendapati semangat dan prestasi para pemain berada pada tahap terbaik sebelum turun menentang Kedah di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam, katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Sabtu.

“Apa yang kita sasarkan sudah menjadi kenyataan dan perkara paling penting pintu gol kita langsung tidak bocor pada perlawanan itu,” katanya.

Lebih menarik, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berkeyakinan skuad Pahang akan mencatat kemenangan besar ke atas Kedah, katanya.

Sementara itu, Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata beliau berpuas hati dengan persembahan ditonjolkan anak buahnya yang mampu bersaing hingga peringkat separuh akhir kempen Piala Malaysia.

“Skuad Kedah yang rata-ratanya dibarisi pemain muda telah bermain dengan baik pada perlawanan ini tetapi inilah bola sepak.

“Punca kekalahan kami adalah tekanan terutama bila Pahang berjaya menyumbat gol di awal babak pertama yang melunturkan semangat pemain kami,” katanya.

Cheng Hoe berkata anak buahnya telah menggandakan usaha untuk bangkit semula pada babak kedua tetapi kekebalan pertahanan Pahang menghalang usaha Kedah untuk menembusi gawang lawan.

“Kita hanya nyaris beberapa kali mendapatkan gol. Jika berjaya, mungkin keputusan pada malam ini (malam tadi) akan berubah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.