JDT Ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia Dengan Agregat 6-5

Johor Baharu – Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United 3-1 pada pusingan separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu malam.

JDT mara dengan agregat 6-5 selepas terlebih dahulu tewas 3-4 pada separuh akhir pertama di Stadium Selayang, Isnin lalu.

JDT, yang juga juara Liga Super musim ini, akan bertemu Pahang pada perlawanan akhir 1 Nov.

Pada perlawanan malam ini, kedua-dua pasukan tampil dengan aksi menarik namun skuad bimbingan Bojan Hodak terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-29 menerusi tendangan percuma di luar kotak penalti yang disempurnakan pemain import Luciano Gabriel Figueroa.

Namun kegembiraan pasukan tuan rumah tidak lama apabila Felda United menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Gol Felda United disempurnakan Mohd Raimi Mohd Noor selepas menerima hantaran lintang Makeche Ndumba pada minit ke-35.

Masuk babak kedua, JDT dan Felda United masing-masing menggandakan asakan ke kubu lawan.

Figueroa sekali lagi menceriakan lebih 30,000 penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-63 selepas menerima hantaran cantik Jorge Pereyra Diaz.

Skuad Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan apabila Amri Yahya menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-71.

Namun JDT terpaksa membayar harga tinggi dengan kemenangan itu apabila kapten pasukan Mohd Aidil Zafuan bakal terlepas aksi final apabila digantung perlawanan selepas menerima kad kuning menerusi kedua-dua aksi separuh akhir.

Aidil menerima kad kuning kedua pada minit ke-66.

Dua lagi kad kuning turut dilayangkan pada minit ke-81 dan minit ke-88 kepada pemain Felda United Zah Rahan Krangar dan pemain JDT Marcos Antonio, masing-masing akibat mengasari pasukan lawan.

Perlawanan sedikit kecoh pada masa kecederaan sehingga memaksa pengadil Suhaizi Shukri melayangkan kad merah kepada pemain JDT Mohd Nazrin Mohd Nawi dan pemain Felda United Abdul Latiff Suhaimi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.